ARTIKEL

TANDA PENGHARGAAN... Dr Nor Ashikin (tengah) menerima cenderamata daripada Andrew (dua kiri) semasa Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai Dayak CENTEXS Betong 2024 di Ruang Legar Pejabat Residen Bahagian Betong di sini, malam tadi. Foto. OSMAN RAZALI

CENTEXS Betong terus melangkah ke hadapan, tawar lebih banyak bidang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong terus bergerak ke hadapan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat berkemahiran menerusi rencana menambah bidang yang ditawarkan menjelang akhir tahun ini.

Di samping, penambahan bangunan baharu untuk menampung bilik kelas sedia ada yang semakin padat.

Menurut Pengurus Cawangan CENTEXS Betong Andrew Emparan, genap lima tahun CENTEXS bertapak di Betong pada tahun ini menyaksikan penerimaan masyarakat sangat memberangsangkan.

Sehubungan itu katanya, CENTEXS Betong ingin bergerak lebih jauh dengan memperbanyakkan bidang yang ditawarkan.

“Pada pengambilan sesi Oktober depan, rancangan kita untuk menawarkan bidang baharu berkaitan kulinari, perladangan dan hospitaliti (kecantikan) iaitu tambahan kepada program sedia ada iaitu Wiremen Plus (Elektrikal), Fashion Technology Basic (Jahitan) dan Certificate in Smart Hydroponic Operation.

“Dengan penambahan itu nanti, kita akan ada lebih daripada lima bidang ditawarkan di CENTEXS Betong, dengan setiap sesi pengambilan melebihi 100 pelatih berbanding sekarang hanya 65 pelatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai Dayak CENTEXS Betong 2024 di Ruang Legar Pejabat Residen Bahagian Betong di sini, malam tadi.

Majlis dirasmikan Pegawai Perantara CENTEXS Betong Dr Nor Ashikin Abdul Rahman mewakili Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS.

Seiring rencana untuk menawarkan bidang baharu jelasnya, tahun ini pengurusan tertinggi CENTEXS telah meluluskan penambahan bangunan baharu.

“Kelas sedia ada tidak mencukupi. Bagaimanapun kita bersyukur kerana tahun ini diluluskan oleh pengurusan tertinggi CENTEXS untuk membuka satu bangunan tiga tingkat sebagai tambahan kepada premis sedia ada.

“Ia terletak di hadapan kampus sedia ada, yang mencukupi untuk mewujudkan enam kelas dan satu dewan serbaguna yang baharu.

“Harapan saya dengan pembukaan enam kelas itu nanti dapat menampung keperluan pelatih yang semakin bertambah,” ujarnya.

Tambah Andrew pihaknya optimis untuk melihat program-program yang menjadi permintaan masyarakat dari semasa ke semasa.

Katanya, fokus utama CENTEXS untuk menawarkan latihan kemahiran kepada masyarakat tempatan khususnya yang tinggal di sekitar Bahagian Betong, Sri Aman dan Sarikei.

“Kita beri peluang kepada masyarakat tempatan. Mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh mohon.

“Namun yang penting, mesti ada minat kerana kita melihat kepada komitmen dan disiplin yang mereka tunjukkan – inilah peluang untuk mereka melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan industri,” tambahnya.

Untuk rekod sepanjang lima tahun operasi CENTEXS Betong, lebih 2,000 masyarakat sekitar menerima manfaat menerusi kursus sepenuh masa yang ditawarkan, di samping Program Jangkauan Teknologi Komuniti (CTOP) dan Program Transformasi Kampung (VTP).

Wakil Residen Bahagian Betong Acthrina Marla Sandai, ketua-ketua jabatan, serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) turut hadir sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU