KUCHING: Optimis memasarkan produk warisan Sarawak berasaskan gula apong, sagu dan ikan terubok ke pasaran Semenanjung Malaysia, Centexs Komersial akan menempatkan 30,000 unit produk warisan di pasar raya Mydin di seluruh negara mulai suku pertama tahun ini.
Pengurus Besar Centexs Commercial Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata inisiatif berkenaan melibatkan 69 pelbagai jenis produk hasil keluaran 48 orang usahawan Sarawak itu berteraskan pelan tindakan pemasaran terbaharu pihaknya menerusi kempen ‘Sarawak Made Product 2030’.
“Selepas berbincang dan membentangkan 69 produk kita ini kepada pihak ibu pejabat Mydin pada tahun lepas, mereka meluluskan kesemuanya untuk dipasarkan di pasar raya seluruh negara,” katanya ketika kepada Suara Sarawak semalam.
Menurut beliau, pihak Mydin menganggap kesemua produk yang dibentangkan berpotensi laris terutamanya produk berasaskan gula apong, sagu dan ikan terubok yang sinonim diinovasi menjadi keluaran produk baharu.
“Misalnya sagu kita akan hantar linut segera dan kerepek seterusnya bagi gula apong kita akan hantar sirap kordial pati gula apong dan air tin Teh C Peng Special manakala ikan terubok akan diwakili snek ranggup yang diolah dari ikan terubok itu sendiri,” jelasnya.
Sebagai permulaan, kata Shahren pihaknya akan mula menghantar bekalan pertama ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya awal Mac nanti berikutan sedang mengambil kira sistem logistik yang terbaik ketika ini.
“Kita akan menghantar bekalan secara pukal dalam kuantiti berkala iaitu tiga kali untuk tahun pertama ini dan bekalan akan ditambah sekiranya permintaan tinggi di Semenanjung Malaysia,” ujarnya Mydin merupakan entiti perintis untuk menggerakkan kempen ‘Sarawak Made Product 2030’.
Dalam pada itu, mengukur hala tuju kempen ‘Sarawak Made Product 2030’ dalam tempoh 10 tahun jelas beliau ia nya dilaksanakan secara dua fasa iaitu bermula tahun ini hingga 2025 adalah usaha menembusi pasaran semenanjung malaysia
Seterusnya tambah Shahren, Centexs Commercial akan melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa dalam fasa kedua pada tahun 2026 hingga 2030 melalui STATOS di Singapura.
“Walaupun sudah ada pelbagai produk kita (Sarawak) di luar negara serta berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi kali ini fokus kita ingin mengenegahkan makanan berteraskan warisan Sarawak kerana kita semua tahu untuk membawa produk makanan ke luar bukan suatu kerja mudah berikutan memerlukan kelulusan serta akreditasi halal dan perlu mencapai piawaian yang ditetapkan oleh negara asing itu sendiri,
“Kita usaha untuk pastikan produk Sarawak akan berada di mana-mana dan menjadi sebutan di pasaran antarabangsa,” katanya sambil meyakini hala tuju Centex Commercial membuahkan hasil dalam tempoh 10 tahun ini.
Shahren menambah pihaknya nekad ingin membantu usahawan tempatan yang baharu menjinakkan diri untuk menjana pendapatan dalam masa sama berhasrat mengukuhkan lagi jenama usahawan yang giat memartabatkan produk warisan Sarawak sebagai punca rezeki selama ini.
“Saya mahu mereka (usahawan) dapat melihat aspirasi kerajaan Sarawak dan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang ingin golongan usahawan kita dibantu dari segi pemasaran produk sekali gus merangsang pendapatan mereka ke arah positif,” ujarnya.
Oleh yang demikian, menjamin masa depan yang cerah kepada usahawan tempatan yang lain, Shahren berkata pintu Centex Commercial sentiasa terbuka menerima kehadiran mereka.