Centexs Lundu sediakan pelbagai kemahiran

LUNDU: “Tidak semua orang yang pandai dalam pelajaran, tetapi ada yang berkemahiran,” kata bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem. Menurutnya lagi, jika mereka gagal, ke mana lagi mereka nak pergi dan akhirnya mereka akan menganggur dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.

Memetik kata-kata itu, Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu mahu masyarakat terutamanya belia di kawasan Dun Tanjong Datu menyertai Centexs bagi mempelajari bidang kemahiran.

“Kampus Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) diwujudkan di Lundu agar belia di kawasan ini mengambil peluang belajar dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

“Mereka tidak perlu hanya bergantung dengan kelulusan SPM sahaja,” katanya semasa membuat tinjauan Hari Terbuka Centexs di Lundu, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pelbagai kemahiran boleh dipelajari di Centexs seperti kursus solekan, kursus membuat roti, kursus menanam kulat dan kursus membaiki penghawa dingin.

“Ini adalah peluang warga Tanjong Datu menambah kemahiran melalui kursus yang diikuti.

“Lain kali, kita tidak lagi perlu menggunakan tenaga dari luar apabila orang Lundu sendiri sudah mahir.

“Anak-anak Lundu sendiri perlu mengambil peluang ini di Centexs yang tidak memerlukan perbelanjaan yang besar,” ujarnya.

Ketika ini Centexs Lundu masih menggunakan bangunan lama Pejabat Daerah Lundu.

Kampus Centexs Lundu kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan. Kampus itu mampu menampung 300 hingga 400 pelajar di kawasan berkeluasan 70 ekar. Turut sama Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani dan Pengurus Centexs Cawangan Lundu Mohd Hazizan Hakim.

Suara Sarawak