ARTIKEL

Ceramah ustaz Somad

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEKITAR jam 4.15 pagi Ahad lalu, saya bergegas ke Masjid Al-Abyad, Matang Kuching atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih untuk mendengar ceramah pendakwah tersohor Nusantara, Ustaz Abdul Somad Batubara yang sentiasa menggamit ribuan jemaah.

Walaupun jarak masjid dari rumah, hanya sekitar 10 minit dengan kenderaan, tetapi saya perlu datang awal untuk mendapatkan tempat duduk strategik, sekurang-kurangnya berada di 10 saf pertama.

Ia juga bertujuan untuk memudahkan parkir kereta.

Setibanya di masjid sekitar jam 4.25 pagi, saya dapati masjid sudah pun penuh tujuh saf, dan saya berpeluang duduk di saf kelapan.

Selang 15 minit kemudian, saf di dalam pun penuh, dan melimpah ke bahagian luar sekitar jam 5.00 pagi.

Ia seolah-olah jemaah pada Hari Raya Aidilfitri, dan mungkin lebih ramai. Azan solat Subuh dikumandangkan pada jam 5.23 pagi, dan ceramah bermula sekitar jam 5.55 pagi hingga 6.55 pagi.

Tempoh satu jam ceramah, bagaikan hanya 15 minit, apabila UAS mengupas kisah hidup Nabi Musa AS dan kezaliman Firaun.

Sekitar 5,000 jemaah yang hadir, dan ada yang datang lebih awal, sebelum pintu masjid dibuka.

Jemaah bukan hanya dari sekitar Kuching, tetapi dari Kota Samarahan, Asajaya, Simunjan dan Serian.

Malah ada yang bergerak dari rumah pada jam 2.45 pagi.

“Malam tadi kami mengikuti ceramah UAS di Masjid Jamek, dan rasanya belum puas lagi untuk mendengar ceramah beliau secara “live”.

Lagi pula ia bukan selalu,” ujar salah seorang jemaah dari Kota Samarahan, yang bersama-sama tiga rakan.

Kali pertama saya mendengar ceramah UAS pada 2019, di Masjid Attaqwa Kampung Pinang Jawa, Kuching, yang dipenuhi jemaah. Ketika itu beliau turut menyampaikan Khutbah Jumaat.

Sebut sahaja UAS, terlalu ramai yang mengenalinya, daripada warga emas sehinggalah generasi Z.

Anjurlah ceramah di mana-mana sahaja, di desa, di kota, di masjid, di dewan, stadium, padang bola atau di hotel, pasti berduyun-duyun yang datang.

Beliau bukan sahaja popular di negara sendiri, Indonesia, tetapi sangat popular di Semenanjung, Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura.

Malah beliau dijemput ke Brunei setiap enam bulan.

UAS memiliki Ijazah Kedoktoran dalam pengajian ilmu hadis dengan keputusan cemerlang dari Universiti Islam Omdurman, Sudan.

Pernah menjadi pensyarah Bahasa Arab, tafsir dan hadis di Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau dan pensyarah agama Islam di Sekolah Tinggi Agama Islam AlAzhar, Yayasan Masmur, Pekanbar.

Beliau juga pernah menjawat jawatan anggota Majlis Ulama Indonesia Wilayah Riau selain beberapa jawatan lain dalam lembaga Islam, termasuk yang terakhir menjadi profesor tamu di Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Shahrif Brunei pada 2020 hingga 2021.

Mempunyai sekitar 7 juta pengikut di media sosial, UAS mempunyai aura tarikan luar biasa walapun secara fizikalnya bertubuh kurus dan agak kecil serta berwajah ‘kampung’.

Beliau dilihat sebagai wakil ideal orang Melayu dengan cara bicara dan pembawaan yang serba sederhana.

Sebenarnya inilah antara ciriciri beliau sangat diminati dan disayangi ramai, yakni mewakili sebahagian besar masyarakat kebanyakan.

Beliau tampil sebagai penceramah dengan karisma tersendiri, bukan sekadar petah berbicara, tetapi cukup pintar ketika melontarkan kata-kata yang diselitkan dengan unsur-unsur humor atau jenaka yang mencuit hati.

Ia bermakna khalayak yang hadir bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi juga hiburan.

Dalam hal ini UAS begitu menguasai retorik Aristotle, bahawa hubungan penceramah dan khalayak cukup penting.

Khayalak menjadi keutamaan penceramah.

Oleh itu, humor UAS sentiasa dekat dan melekat di hati pendengar.

Beliau juga memenuhi tiga teori penting dalam pengucapan awam, iaitu ethos (etika), pathos (emosi atau perasaan), dan logos (logik atau fakta).

Yang pasti, UAS yang lahir pada 18 Mei 1977 di Silo Lama, Asahan, Sumatra Utara, menjadi buruan penganjur, malah jadual ketatnya menyebabkan ramai yang kecewa, kerana tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam masa terdekat, sebaliknya terpaksa menunggu berminggu-minggu, malah berbulan-bulan.

Di Google Trends, pencarian kata kunci “Ustadz Abdul Somad” mula menjadi dambaan rakyat Malaysia dan Indoensia sejak Januari 2016.

Kebanyakannya menonton video UAS melalui pelbagai platform media sosial seperti YouTube, Facebook mahupun Instagram.

Pengikut UAS di @ ustadzabdulsomad_official mencapai 6.7 juta pada 10 Oktober 2022. Sementara saluran YouTube, Ustadz Abdul Somad Official, hingga kini telah memiliki 3 juta pelanggan.

UAS juga antara pendakwah yang bijak memanfaatkan media sosial.

Ulama bergelar Datuk Seri Ulama Setia Negara itu menjelaskan bahawa manfaat berdakwah melalui Internet mampu menembusi keterbatasan ruang dan waktu.

Para jemaah turut dengan mudah menyemak ceramah dai pilihannya, terutama bagi mereka yang sibuk, tetapi masih bersemangat mengikuti kajian ilmu-ilmu agama.

“Media sosial dapat menjadi medium yang tepat untuk berdakwah pada era ini… mudah akses, tanpa terbatas ruang dan waktu.

Semuanya jadi simple dan mudah,” ujar UAS. Bukan hanya media sosial, populariti UAS juga meresap ke media cetak dan elektronik.

Oleh itu ceramahnya di masjid, dewan atau stadium sentiasa menjadi tumpuan ribuan orang.

Sepanjang tiga hari Program Kembara Cinta Rasul di Kuching, sekitar 30,000 khayalak yang hadir.

Oleh kerana terlalu ramai jemaah yang datang adalah wajar setiap ceramah mega diselitkan dengan amalan bersedekah mengikut kemampuan masing-masing, dan wang tersebut dimanfaatkan untuk masjid atau aktiviti keagamaan.

Pada masa yang sama para jemaah akan mendapat manfaat berganda, pahala menghadiri majlis ilmu dan pahala sedekah. Memang ada disediakan tabung khas di masjid, tetapi tidak semua yang menghulurkan sedekah.

Bagi memaksimumkan urusan sedekah, mungkin pihak masjid menubuhkan AJK Khas untuk mengutip sedekah daripada semua jemaah.

Dengan cara ini, kemungkinan besar jumlah sedekah akan lebih banyak, dan ramai yang mendapat manfaat berganda.

Yang pasti, penganjuran ceramah khas, atau ceramah mega ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh bahagian di negeri ini.

Ia sudah pun menjadi trend di Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah di seluruh Malaysia, ceramah mega sentiasa menjadi tumpuan, sehingga ada penganjur yang mengadakannya di kawasan luas, seperti padang, stadium.

Oleh itu, kini tidak menghairankan jumlah pendengar ceramah mengatasi jumlah penonton bola sepak di stadium.

Selain UAS, Ustaz Wadi Annuar, 40, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah juga penceramah popular yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial dan ribuan jemaah setiap kali beliau berceramah di masjid, atau dewan di seluruh Malaysia.

Beliau mempunyai kelulusan Jurusan Syariah & Bahasa Arab, Institut Fatah Islami, Damsyik, Syria.

Yang pasti, majlis ilmu yang membabitkan penceramah terkenal semakin diminati ramai, petanda positif perkembangan syiar Islam di negara ini. 

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU