Ceriakan enam keluarga

PUSA: Ziarah Cakna SK Tambak bertemakan ‘Kasih Ramadan’ berjaya menceriakan enam keluarga yang memerlukan.

Guru Besarnya Ismail @ Kamarudin Deli memberitahu, program yang disusun atur pihak sekolah kali ini merupakan peluang menyantuni murid dan keluarganya yang serba kekurangan.

“Kita menyasarkan penerima dalam kalangan murid yang merupakan anak yatim termasuk golongan ibu tunggal.

“Mereka diberikan barangan keperluan dapur dengan harapan dapat meringankan beban yang ditanggung pada Ramadan ini,” katanya ditemui semalam.

Dalam masa yang sama jelasnya, platform ini mampu mengeratkan hubungan silaturrahim pihak sekolah dengan masyarakat.

“Kita bertanya khabar, bercerita tentang anak-anak di sekolah… satu kesinambungan dari program cakna sekolah yang amat baik dan Alhamdulillah menjadi serampang dua mata untuk sekolah mengenali lebih dekat keluarga pelajar kita.

“Program ini akan diusahakan untuk diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Turut serta Penolong Kanan (PK) Pentadbiran Bujang @ Karim Ganti, PK Hal Ehwal Murid Kamisiah Deli dan PK Ko-Kurikulum Mohd Sharkawi Meni.