Cerita kartun Aki Selumbong

PEMINAT cerita kartun atau animasi bersifat kelakar dalam bahasa Iban kini boleh menonton melalui saluran Youtube Ibantoon Animasi.

Saluran Youtube itu diasaskan oleh anak kelahiran Sungai Antu Roban, Ngumbang Rangga, 35.

Ngumbang berkata, salah satu watak kartun yang direka dan diketengahkan dalam saluran Youtube tersebut adalah cerita kartun Aki Selumbong.

“Idea watak Aki Selumbong ini sebenarnya datang daripada salah satu cerita orang tua Iban bagi mengingati individu yang bernama Aki Selumbong dalam cerita tersebut.

“Ia juga merupakan salah satu cerita orang tua yang amat terkenal di Daerah Roban. Disebabkan itu, nama Aki Selumbong sentiasa menjadi sebutan masyarakat Roban hingga hari ini.

“Ini lebih-lebih lagi apabila bergurau atau setiap kali ada aktiviti berkumpul dengan sanak saudara di belakang rumah sambil berehat di waktu petang.

“Saya mengambil keputusan untuk menggunakan nama Aki Selumbong ini menjadi watak utama dalam cerita itu kerana namanya amat istimewa.

“Sebut sahaja nama Aki
Selumbong, tidak ada masyarakat di sekitar Batang Seblak yang tidak mengetahui cerita ini,” katanya.

Ngumbang memberitahu, ayat Munyi ku Aki Selumbong (seperti apa yang dikatakan oleh Aki Selumbong) dan Kita bedau nemu aku, Aki Selumbong tu (Kamu belum kenal saya, ini Aki Selumbong) sentiasa menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Malah katanya, kartun Aki Selumbong pernah dikeluarkan dalam Majalah Bangka sekitar 2012.

“Walaupun menggunakan nama Aki Selumbong, namun jalan cerita kartun ini tidak menyentuh kehidupan sebenar Aki Selumbong semasa dia masih hidup,” jelasnya.

Ngumbang menjelaskan, dia mula aktif melukis kartun itu sejak Ogos 2020, sebelum memberanikan diri membuat video hasil tangannya sendiri yang pertama di Youtube pada Februari lalu.

Ketika menceritakan mengenai kartun Aki Selumbong, Ngumbang mendedahkan, kartun itu menceritakan tingkah laku dan kehidupan seorang remaja bernama Selumbong yang amat nakal semasa dijaga oleh nenek dan datuknya di rumah panjang.

“Jalan cerita dalam saluran Youtube ini diselitkan dengan sebahagian gaya hidup di rumah panjang.

“Perangai Aki Selumbong yang hampir sama dengan kenakalan Selumbong serta ketegasan Nenek Selumbong dalam cerita kartun ini menguatkan lagi dan memberi kelebihan kepada jalan cerita kartun ini,” ujarnya.

Kartunis yang memiliki ijazah Bidang Seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini pernah menghasilkan majalah lawak iaitu Lelekik dan Bangka.

Dalam penghasilan majalah tersebut, Ngumbang juga merupakan salah seorang pelukis grafik untuk kedua-dua majalah itu.

Sementara itu Ngumbang berkata, tujuan penghasilan cerita kartun Aki Selumbong itu kerana ingin mengeluarkan idea yang datang daripada pemikirannya, sekali gus membuat pembaca gembira dan ketawa apabila melihat karyanya.

“Saya seorang pendiam, maka cara ini amat sesuai untuk saya menggembirakan orang lain selain memperluaskan lagi bahasa Iban agar dapat dikenali oleh kaum lain,” tambahnya.

Ditanya mengenai maklum balas orang ramai mengenai perkara itu, Ngumbang mendedahkan, setakat ini dia menerima sambutan yang amat baik daripada orang ramai.

“Banyak komen daripada peminat atau mereka yang pernah menonton saluran saya dan memberitahu kartun yang saya hasilkan amat bagus serta berharap lebih banyak lagi cerita Iban yang dapat dihasilkan selepas ini.

“Apabila mengimbas kembali cerita Aki Selumbong yang dikeluarkan di majalah Bangka dahulu, pembaca sentiasa menanti-nantikan keluaran baharu setiap cerita tersebut.

“Justeru, permintaan peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada saya menyebabkan saya memulakan kerjaya ini, selain mengikuti perkembangan teknologi kini.

“Jika dahulu, ia hanya dapat dibaca di majalah, namun kini semuanya boleh diperoleh melalui telefon pintar dan gajet yang lain, termasuk audio yang jelas seperti menonton cerita di televisyen.

“Setakat ini, seramai 3,000 orang telah menonton cerita kartun Aki Selumbong selain jumlah suka (like) di Facebook Komik Ibantoon telah mencapai 6,000 suka,” jelasnya yang juga minat memancing, merakam dan menyunting video pada waktu lapang.

Dalam perkembangan sama, dia berharap orang ramai terus menyokong karya yang dihasilkannya dalam bidang animasi.

Ujarnya, tidak ramai kaum Iban yang dilihat aktif dan benar-benar menerajui bidang ini kerana ia bukan satu kerjaya yang mudah.

“Kerjaya ini memerlukan kesungguhan dan kecekalan hati selain memerlukan waktu yang cukup lama.

“Saya berharap orang ramai tidak berhenti memberi sokongan kepada saluran kartun animasi ini agar semangat untuk menghasilkan kartun sentiasa timbul,” jelasnya lagi.

Ngumbang berkata, hanya melalui sokongan orang ramai, peluang untuk menghasilkan karya animasi dapat terus maju mengikut perkembangan dunia animasi negara lain.

“Ini bukan satu kerjaya yang mudah, malah untuk menghabiskan satu episod yang hanya ditonton selama tiga minit memerlukan tiga minggu untuk ia siap sepenuhnya.

“Perkara ini termasuk proses seperti melukis dan suntingan menggunakan komputer.

“Bukan itu sahaja, ia memerlukan rangka lukisan kartun yang membolehkan ia bergerak hidup dan memerlukan 4,000 hingga 5,000 lapisan hasil lukisan untuk menghasilkan video selama dua minit,” ujar Ngumbang.

Suara Sarawak