KUCHING: Gara-gara menceroboh masuk sebuah rumah, seorang lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Ku Kuet Leong, 27, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan menceroboh sebuah rumah milik Charles Chong Chuan Ling beralamatkan Lorong Stampin Baru, Jalan Stampin Baru di sini, 26 September lepas.
Berdasarkan ringkasan kes, pengadu mendengar bunyi bising daripada rumah jirannya yang telah lama dibiarkan kosong, kira-kira jam 1.15 pagi, 26 September lalu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.
Pada hari yang sama, sekitar jam 2.00 pagi sepasukan polis berjaya menangkap tertuduh di dalam rumah mangsa.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman berat sebagai pengajaran.