KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Lintang Cherishe Ng Phuay Hui menyeru golongan belia dan wanita untuk menceburi bidang politik.
Menurut Cherishe, beliau melihat senario politik di Sarawak kurang penglibatan daripada golongan wanita.
“Contohnya, 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sarawak hanya ada enam hingga tujuh sahaja wakil wanita dan tiada yang berusia 30 tahun ke bawah.
“Perkara sedemikian perlu diubah (reform) supaya lebih banyak anak muda dan wanita terlibat dalam politik,” katanya ketika ditemui pemberita pada program gotong-royong PKR di Tebingan Kuching, hari ini.
Tambahnya, golongan muda juga perlu diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam politik dan itu yang mereka sedang perjuangkan.
“Saya berasa perkara ini bukan soal terlalu muda dan tiada pengalaman tetapi soal peluang, anak muda juga perlu di angkat menjadi calon,” ujarnya.