Chieng Jen: Trio pengkhianat!

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menjelaskan tindakan yang diambil oleh Baru Bian, Ali Biju dan Willie Monyin yang memilih untuk keluar daripada PKR dan PH untuk bersama-sama Umno dan Pas adalah pengkhianatan.

Beliau kesal dengan tindakan tersebut yang bukan sahaja pengkhianatan kepada PKR tetapi juga pengkhianatan atas kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Jajaran mereka dengan puak Azmin untuk menjatuhkan kerajaan PH yang dipilih secara demokratik telah membawa kekacauan ke atas negara ini dan melumpuhkan seluruh kerajaan kini.

“Apabila keluarnya trio ini daripada PKR Sarawak, pihak kita mengharapkan penyesuaian semula ke atas kepimpinan PKR Sarawak kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Tambah beliau, PH Sarawak akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat untuk memutuskan langkah seterusnya ekoran perkembangan politik baru-baru ini, termasuk perubahan kepimpinan PKR Sarawak dan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke luar daripada PH.

“Saya percaya bahawa PH Sarawak yang mengalami kekacauan kebelakangan ini, akan menjadi lebih bersatu dan teguh untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang. “Saya memberi jaminan kepada rakyat Sarawak, bahawa PH Sarawak akan sentiasa memperjuangan politik asal iaitu untuk membawa pembaharuan terhadap Sarawak dan Malaysia demi kebaikan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak menegaskan bahawa sesungguhnya pemergian beberapa pemimpin daripada parti komponen PH tidak akan menjejaskan matlamat sebenar keseluruhan PH Sarawak.

“Mengenai DAP Sarawak, saya gembira dan bangga mengatakan bahawa semua wakil rakyat DAP Sarawak iaitu kedua-dua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri akan terus kukuh bersama-sama parti pada saat sukar dan senang.

“Anggota DAP Sarawak, anggota Amanah dan termasuk PKR juga telah menunjukkan sokonbgan kuat yang tidak berbelah terhadap kepimpinan dalam masa sukar dan tidak menentu ini,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak