ARTIKEL

China bawa peluang besar kerjasama saling untung – Hungary

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING: Menteri Luar Hungary, Szijjarto Peter, menyifatkan China sebagai rakan kerjasama dan sebuah negara yang membawa peluang besar dalam kerjasama saling untung.

“Saya berpendapat bahawa Hungary tidak akan menjadi pesaing dengan China dalam sebarang bidang.

“Justeru, berbanding dengan berbincang mengenai persaingan, risiko atau ancaman, kami (Hungary-China) sepatutnya membincangkan kaedah kerjasama dan memanfaatkan kelebihan masing-masing,” kata beliau.

Dalam wawancara eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG), Peter turut mengimbau kembali prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejagat yang disumbang Kesatuan Eropah (EU) dan China pada 2010 iaitu masing-masing sebanyak 22 dan sembilan peratus.

“Menginjak ke tahun 2022, nisbah China dalam KDNK sejagat meningkat ke 18 peratus, manakala EU pula direkodkan sebanyak 17 peratus.

“Kita tidak sepatutnya melihat China sebagai ancaman atau risiko, sebaliknya menjalankan kerjasama dengan China untuk membangun bersama,” kata beliau

Peter turut menyatakan bahawa pihaknya mampu membuktikan kerjasama dengan China membawa banyak faedah, berbanding melihat China sebagai ancaman atau risiko.

Jelasnya, kedua-dua negara ini juga terus mengekalkan hubungan perkongsian berdasarkan prinsip saling menghormati.

“Kami (Hungary) amat bangga kerana menjadi destinasi pelaburan terbesar bagi syarikat China di rantau Eropah Tengah dan China sudah menjadi sumber pelaburan paling besar bagi Hungary pada beberapa tahun secara berturut-turut.

“Banyak syarikat besar China memutuskan untuk melabur di Hungary.

“Syarikat CATL (Contemporary Amperex Technology Co., Limited) merupakan pengeluar bateri untuk kegunaan BEV (kenderaan elektrik bateri) yang terbesar di dunia dan pelaburan Greenfield daripada CATL yang berskala paling besar dalam sejarah Hungary pula akan turut disempurnakan kelak,” tambah Peter.

Menurut beliau, terdapat banyak syarikat BEV China sedang menjadikan Hungary sebagai tapak untuk membina kilang pengeluarannya di Eropah.

“Kami tidak memahami apa yang disebut sebagai ‘cantas hubungan’ atau ‘nyah risiko’.

“Kami sentiasa positif untuk mewujudkan kerjasama saling untung dan menang bersama melalui kerjasama dengan China, (dan) kami akan mengekalkan kerjasama ini pada masa depan,“ tambah Peter. – BERNAMA

BERITA LAIN

Presiden Rusia tawa perdamaian bersyarat kepada Ukraine

MOSCOW, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu

BERITA TERBARU

‘Strongman Challenge’ tarik minat orang awam

KUCHING: Penganjuran pertandingan ‘Strongman Challenge’ dapat menggalakkan gaya hidup sihat dan minda yang kuat dalam kalangan anggota polis serta orang awam. Komandan Pulapol Kuching, SAC