China buka markas polis rahsianya di Hong Kong

HONG KONG: China membuka pejabat baharu untuk ejen perisiknya beroperasi secara terbuka di Hong Kong buat pertama kalinya di bawah undang-undang keselamatan baharu, dalam menunjukkan kawalan ketatnya terhadap hab kewangan itu.

Markas baharu itu terletak di hotel yang menghadap Victoria Park, lokasi yang menganjurkan protes prodemokrasi selama bertahun-tahun, termasuk peringatan tahunan tindakan keras Beijing ke atas pemprotes di Tiananmen pada 1989.

Sebuah plak bertulis nama agensi keselamatan itu dilancarkan pagi Rabu di hadapan para pegawai kerajaan Hong Kong dan tanah besar, termasuk utusan tertinggi Beijing ke kota itu dan komandan berek tentera China di Hong Kong. Polis menyekat jalan raya di sekitar bangunan bekas Hotel Metropark itu dan meletak penghadang berisi air di sekelilingnya.

Bendera China dikibarkan pada tiang di luar bangunan sementara plak diukir lambang kebangsaan dipasang. Pemimpin bandar raya itu, Carrie Lam yang pro-Beijing, menyifatkan pembukaan tersebut sebagai “momen bersejarah” dan mengatakan alat perisikan China itu menjadi “rakan penting” membantu menjaga keselamatan negara.

Beijing melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong minggu lalu yang menyasarkan tindakan pencerobohan, pemisahan, keganasan dan pakatan asing sebagai tindak balas terhadap protes demokrasi besar-besaran dan sering ganas yang meletus tahun lalu.

Undang-undang tersebut adalah perubahan paling radikal dalam kebebasan dan autonomi Hong Kong sejak Britain menyerahkan kota itu kembali kepada China pada 1997.

Undang-undang keselamatan negara yang serupa digunakan untuk menghancurkan penentang di tanah besar China dan polis di Hong Kong membuat tangkapan bagi orang yang menyuarakan pandangan politik tertentu yang kini dianggap tidak sah, seperti menyokong kemerdekaan atau autonomi.

Foto AFP