ARTIKEL

Mohammad Medan (dua kiri) bersama-sama tetamu kehormat lain menyaksikan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi Eksekutif Qube selaku pengerusi penganjur Malaysia-China Summit 2024, Richard Teo.

China destinasi eksport kedua terbesar bagi pengeksport Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: China merupakan destinasi eksport kedua terbesar, selepas Jepun bagi pengeksport Sarawak, kata Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Mohammad Medan Abdullah.

Beliau berkata nilai eksport ke negara berkenaan pada 2023 berjumlah RM18.83 bilion.

“Ini menyerlahkan kepentingan dan potensi besar pasaran China untuk perniagaan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Medan berkata walaupun menghadapi cabaran ekonomi dunia yang menjejaskan perdagangan antarabangsa, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dan sumber utama import pada 2023.

Menurutnya, Malaysia ialah rakan dagangan global ke-10 terbesar China serta rakan dagangan kedua terbesar dalam ASEAN.

“Malaysia merupakan sumber import terbesar China, dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata perdagangan Malaysia dengan China kekal ketara pada suku pertama 2024, dengan nilai perdagangan berjumlah RM151 bilion.

Katanya ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Dalam tempoh ini, eksport Malaysia ke China direkodkan pada RM58.6 bilion dengan produk elektrik dan elektronik menjadi eksport terbesar.

“Manakala nilai import adalah sebanyak RM92.46 bilion, khususnya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan alat ganti serta bahan dan produk kimia,” katanya.

Sementara itu, Xing Weiping berkata strategi pembangunan Sarawak menyediakan banyak kemungkinan untuk perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Saya menghargai komitmen Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membina Sarawak sebagai pusat tenaga boleh diperbaharui serantau dan bersungguh-sungguh membangunkan industri tenaga hidrogen serta sektor Pengurangan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang merupakan industri baharu yang tidak boleh dibangunkan tanpa kerjasama antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata China bersedia untuk berbincang dan meneroka kerjasama dalam industri tenaga baharu serta rantaian bekalan termasuk menangani perubahan iklim global.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU