China labur RM7.3 bilion dalam industri pulpa di Sarawak

KUCHING: Sarawak mengalualukan pelaburan dalam industri kertas dan pulpa yang ditambah nilai berasaskan konsep kitar semula tanpa mengeksplotasi sumber semula jadi, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pelaburan berkenaan menggunakan teknologi yang bersih, selamat dan mesra alam apabila menggunakan tenaga boleh diperbaharui daripada empangan hidroelektrik.

“Permintaan kertas yang berkualiti tinggi untuk cetakan dan pembungkusan produk melalui beli belah atas talian sentiasa ada.

“Oleh itu, saya kagum dengan teknologi pengeluaran kertas yang mesra alam Shan Ying termasuk kemudahan rawatan sisa air yang selari dengan dasar pelaburan bersih Kerajaan Sarawak,” katanya ketika menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Shan Ying International Holdings Co Ltd (Shan Ying) of China di bandar Ma’anshan, wilayah Anhui, China pada Rabu.

Perjanjian dimeterai untuk membangunkan kerjasama membina kilang pengeluaran kertas dan pulpa di Samalaju, Bintulu.

Tambah Abang Johari, pelaburan Shan Ying di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan memberi manfaat besar kepada negeri ini terutamanya perkongsian tenaga mahir, kepakaran teknikal sekali gus membawa kepada pembangunan pusat-pusat latihan dan vokasional.

“Ini pasti bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak,” tegasnya.Sementara itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, kerjasama ini selaras dengan teras organisasi berkenaan sebagai salah satu pembangunan projek perintis dan strategik Kerajaan Sarawak.”

Oleh itu, saya berharap kerjasama ini mencapai matlamatnya yang memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.

Abdul Aziz menandatangani MoU terbabit bersama-sama rakan sejawatnya dari Shan Ying, Wu Mingwu.

Shan Ying ditubuhkan pada tahun 1957 yang secara prinsipnya mengeluarkan produk kertas terbesar di China.

Malah, syarikat gergasi itu tersenarai dalam Shanghai Stock Exchanged yang turut mempunyai cawangan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Netherlands, Jepun, Australia dan Hong Kong.

Syarikat ini membina rangkaian kitar semula sisa buangan domestik dan asing dengan memiliki stesen jana kuasa, kemudahan rawatan sisa air dan sokongan lain apabila menghasilkan 3.05 juta tan kertas setahun.

Bagi Sarawak, syarikat itu berhasrat untuk mewujudkan kilang pengeluaran pulpa dan kertas automatik di Taman Perindustrian Samalaju dengan kapasiti pengeluaran dua juta tan setahun yang dikendalikan oleh 2,500 kakitangan.

Projek yang menelan biaya sebanyak RM7.3 bilion ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama pembinaan dimulakan pada tahun 2020 serta disasarkan siap dan beroperasi pada 2023.

Fasa kedua pula dimulakan sebaik sahaja fasa pertama selesai.

Suara Sarawak