BEIJING: China melancarkan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan pada Sabtu, tindakan yang disebutnya sebagai amaran keras kepada kerajaan pulau itu yang diperintah sendiri berikutan pertemuan antara presidennya dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS).
Opetrasi tiga hari yang digelar United Sharp Sword itu berlangsung sehingga Isnin, kata Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan.
“Latihan itu diadakan di kawasan maritim dan ruang udara Selat Taiwan, di luar pantai utara dan selatan pulau dan di timur pulau itu,” kata jurucakap PLA, Shi Yin, menurut agensi berita Xinhua.
Latihan itu turut melibatkan tembakan peluru hidup pada Isnin di luar pantai wilayah Fujian China, yang terletak menghadap Taiwan, kata pihak berkuasa maritim tempatan dalam satu kenyataan.
Ia dibuat selepas Presiden Taiwan Tsai Ing-wen menimbulkan kemarahan Beijing kerana mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy di California.
China menganggap Taiwan yang memerintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.
“Operasi ini bertindak sebagai amaran keras terhadap pakatan sulit antara pasukan pemisah yang mencari ‘kemerdekaan Taiwan’ dengan kuasa luar serta menentang aktiviti provokasi mereka.
“Operasi kenteneraan ini perlu untuk menjaga kedaulatan negara dan integriti wilayah China,” kata Shi dari PLA.
Dalam tempoh 24 jam lalu, tiga kapal perang China belayar melalui perairan sekitar Taiwan, menurut Kementerian Pertahanan pulau itu.
Latihan itu juga menyusul keberangkatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen dari Beijing, selepas berada di China untuk menggesa Xi Jinping membantu menamatkan perang di Ukraine.
Pada Sabtu, Kementerian Pertahanan Taiwan mengecam pengumuman Beijing berkenaan latihan itu, mengatakan ia mengancam kestabilan serantau.
“China menggunakan lawatan Tsai ke AS sebagai alasan untuk menjalankan latihan ketenteraan, yang secara serius menjejaskan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini,” kata kementerian itu.