ARTIKEL

Wong Soon Koh membahaskan Usul Penghargaan kepada mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang diusulkan oleh Abang Johari pada persidangan DUN, hari ini.

Chong Chieng Jen dikutuk, tidak sokong Usul Penghargaan kepada Almarhum Tun Taib

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak tidak menyokong Usul Penghargaan kepada mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, mendapat kutukan daripada ADUN lain.

Antaranya ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh yang membidas tindakan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, dan ADUN Pending, Violet Yong, yang jelas tidak menghormati Tun Taib meskipun sudah meninggal dunia.

Abdullah Saidol membahaskan Usul Penghargaan kepada mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang diusulkan Abang Johari pada DUN, hari ini.

Soon Koh berkata beliau tidak dapat memahami bagaimana Chieng Jen umumnya boleh tidak bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menghargai sumbangan Tun Taib.

“Dalam budaya Cina, jika anda tidak menyukai seseorang, anda diam sahaja.

“Agak tidak wajar baginya (Chieng Jen) untuk menyatakan secara terbuka di dewan yang mulia ini bahawa beliau tidak akan menyokong usul ini.

“Tiada siapa yang sempurna, dan seperti kata pepatah, melakukan kesilapan adalah sifat manusiawi.

“Saya harap Ahli Yang Berhormat Padungan akan cuba merenung diri, sama ada tingkah lakunya boleh diterima oleh mana-mana manusia atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan kepada mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang diusulkan oleh Abang Johari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Justeru, Soon Koh berkata ia amat menyedihkan apabila masih ada pihak, khususnya pembangkang, yang tidak menghormati Tun Taib meskipun sudah meninggal dunia.

“Budaya timur mengajar kita, khususnya budaya Cina, bahawa kita harus menghormati orang tua, terutamanya mereka yang telah meninggal dunia dan meninggalkan beberapa sumbangan.

“Dalam politik, kita tidak sepatutnya mengambil perkara terlalu peribadi.

“Saya tahu Ahli Yang Berhormat Padungan, Chong Chieng Jen tidak melihat perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh Allahyarham untuk Sarawak, beliau hanya melihat perkara salah yang Tun Taib telah lakukan,” katanya.

Soon Koh mengimbas kembali bagaimana beberapa kenyataan yang dibuat oleh Chieng Jen pada persidangan DUN sebelum ini telah menyakiti perasaan Tun Taib.

“Sebagai seorang manusia, Tun Taib bertindak balas dengan cukup emosi, dan saya masih ingat bagaimana beliau meminta saya mengambil alih untuk menjelaskan kepada YB Chong apa yang ada di sebalik keseluruhan cerita itu, sebelum Tun keluar dari dewan.

“Ini semua adalah sebahagian daripada permainan politik, ya, saya setuju, tetapi mengetepikan politik, sebagai manusia yang berbudi bahasa, kita harus menghormati orang penting seperti Tun Taib, yang telah mendedikasikan hampir seluruh hidupnya kepada Sarawak, berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun dan juga Yang di-Pertua Negeri Sarawak hingga pemergiannya baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menyatakan beliau tidak akan menyokong usul berkenaan kerana curiga terhadap pentadbiran Tun Taib semasa menjadi Ketua Menteri.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Pehin Sri, bukan sifat saya dan bukan saya hendak bercakap buruk tentang orang yang sudah meninggal dunia.

“Allahyarham Tun Pehin Sri mungkin menyumbang kepada pembangunan negeri tetapi timbul juga kecurigaan terhadap pentadbirannya semasa menjadi Ketua Menteri.

“Oleh yang demikian, saya tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan kecuali menyatakan pendirian saya dan rakan saya YB Pending bahawa kami tidak akan menyokong usul ini,” katanya.

Selain Soon Koh, ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol turut menyifatkan tindakan Chong itu sebagai hipokrit dan biadab.

“Ini adalah gambaran nyata adab budaya dan pemikiran sebuah parti politik yang kasar, hipokrit dan biadab.

“Kalau anda tidak ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan, lebih baik berdiam diri,” katanya dalam perbahasan berhubung usul berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU