Chong cuba halang projek bas hidrogen

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam menempelak Ketua Pembangkang, Chong Chieng Jen yang berusaha mensabotaj pelaksanaan projek bas hidrogen di negeri ini. Katanya, dalam Persidangan DUN yang lalu, Chieng Jen mendesaknya agar memberhentikan projek itu yang disifatkan terlalu awal untuk Sarawak.

“Beliau tidak sedar bahawa pengguna hidrogen telah menjadi sebahagian daripada polisi Kerajaan Persekutuan.

“Wujud Blueprint Hidrogen 2017 yang ditandatangani oleh Malaysia dan kita komited untuk mempromosi kegunaan hidrogen sebagai tenaga yang tidak mencemarkan alam sekitar,” tambahnya sambil mendedahkan dua syarikat iaitu Petronas dan Tenaga Nasional Berhad telah diarahkan untuk melaksanakan projek ini.

Abang Johari turut menyindir Chieng Jen yang tidak tahu akan dasar tersebut biarpun berstatus Timbalan Menteri.

Tegasnya, Sarawak yakin penggunaan hidrogen akan menjadi salah satu pendapatan utama kepada Sarawak pada masa depan.

“Sudah ada orang Jepun berjumpa dengan Tengah (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) dan menyatakan minat untuk membeli hidrogen dari Sarawak.

“Tetapi kita memberitahu, yang ada di Sarawak hanyalah loji prototaip, yang akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sarawak serius menjadikan hidrogen sebagai sumber baharu di negeri ini kerana memiliki tiga empangan terbesar iaitu Batang Ai, Bakun dan Murum.

Sarawak Energy Berhad telah diamanahkan untuk membangunkan loji tersebut dengan menggunakan teknologi Linde, manakala bas hidrogen dioperasikan oleh SEDC. Abang Johari turut memiliki sebuah kenderaan SUV berjana kuasa hidrogen yang diimport dari Korea, dan mula memandunya sejak bulan lalu.