Chong meludah ke langit

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen ibarat meludah ke langit apabila menyelar kerajaan Sarawak sebagai tidak memberikan keutamaan kepada sekolah daif.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kenyataan Chong itu adalah tidak wajar sama sekali kerana projek sekolah daif di Sarawak tertangguh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila bajet asal yang diluluskan untuk Sarawak tidak diteruskan.

“Dalam soal ini dan apabila projek demi projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak tidak diteruskan, apakah Chong dan PH Sarawak pernah bersuara untuk mempertahankan hak Sarawak? Langsung tidak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyifatkan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu hanya akan muncul bersuara untuk mempolitikkan apa juga isu demi kepentingan diri dan parti, tindakan yang seolah-olah meletakkan diri mereka masih lagi pembangkang di peringkat persekutuan.

“Untuk rekod, kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung.

“Pada 2018 (sebelum PRU-14) kerajaan sebelumnya telah menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

“Ada baki RM581 juta lagi peruntukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun 2019,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata tindakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang lantang bersuara dalam memperjuangkan hak Sarawak termasuk meminta projek pembinaan dan membaik pulih sekolah daif di Sarawak disegerakan adalah kerana beliau mengutamakan kepentingan rakyat dan Sarawak.

Malah, tegasnya kerajaan Sarawak sanggup mematuhi setiap syarat yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meneruskan projek itu walaupun hakikatnya jelas termaktub dalam perlembagaan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

“Kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Sarawak juga dapat dilihat apabila menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan bagi memastikan projek sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan segera, selepas peruntukan asal untuk Sarawak bagi tujuan itu yang diluluskan kerajaan sebelumnya ditarik balik oleh kerajaan baharu.

“Selepas itu kerajaan persekutuan meletakkan empat syarat termasuk kontra pembayaran balik RM1 bilion hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan, dengan pembayaran pertama RM350 juta yang sudah pun dibayar oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Suara Sarawak