Chong puji kecekapan, kepantasan bomba padamkan kebakaran di rumahnya

KUCHING:  Pengerusi DAP Sarawak  Chong Chieng Jen memuji dan menghargai kecekapan serta kepantasan  anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak  memadamkan kebakaran di rumah keluarganya semalam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Stampin  berkata, anggota bomba hanya mengambil  masa kira-kira lima minit untuk tiba di rumahnya itu sebaik sahaja selepas dia menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.

Dilaporkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan  Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran di rumah  bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa manakala punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Kuching khususnya atas tindakan pantas  memadamkan kebakaran rumah keluarga saya yang sudah berusia 20 tahun,” kata  Chong  melalui catatan di Facebookmya.

“Kalau bukan kerana tindakan pantas mereka, sudah tentu api yang bermula di bilik tidur ibu bapa saya akan merebak ke bilik lain,” katanya.

Kebakaran itu mengakibatkan bilik terbabit terbakar 20 peratus, dan semasa kejadian terdapat lima orang iaitu dua lelaki dan tiga wanita di dalam kediaman itu.

Beliau turut bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kebakaran tersebut.

Suara Sarawak