ARTIKEL

Chong saran kerajaan Sarawak tarik pelaburan dalam industri tenaga elektrik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kerajaan Sarawak disarankan untuk menarik pelabur asing dan tempatan yang bernilai tambah tinggi untuk melabur dalam industri tenaga bersih negeri ini.

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, berbanding merancang untuk mengeksport tenaga elektrik ke Singapura atau Semenanjung, beliau menyarankan kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada cara untuk menarik pelaburan melalui penggunaan tenaga elektrik.

“Sarawak dikurniakan dengan tenaga elektrik hidro yang dianggap tenaga bersih. Dalam era semua negara dan syarikat berlumba-lumba mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), tenaga bersih telah menjadi komoditi yang berharga.

“Banyak syarikat telah menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar dalam masa lima hingga 10 tahun lagi. Oleh itu, kerajaan Sarawak harus memanfaatkan peluang ini untuk menarik pelaburan asing dan juga syarikat Semenanjung untuk menubuhkan kilang dan pejabat mereka di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaupun penjualan tenaga bersih ke Semenanjung atau Singapura boleh memberikan pulangan harga yang baik, namun beliau berkata ia tidak akan menjana pembangunan perindustrian dan membuka lebih banyak pekerjaan domestik di negeri ini.

“Tambahan pula, apabila syarikat-syarikat di negara itu memperoleh tenaga bersih sehingga menjadikan produk mereka hijau dan lebih mudah dijual, ia secara tidak langsung menimbulkan saingan dan menyekat pertumbuhan usahawan kita.

“Justeru, sekiranya syarikat di Semenanjung atau Singapura memerlukan tenaga bersih, maka biarlah mereka datang dan menubuhkan loji dan pejabat di sini.

“Bukan membekalkan mereka dengan tenaga bersih yang tidak mewujudkan peluang pekerjaan tambahan kepada rakyat kita,” tegasnya Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu.

Beliau turut memohon supaya kerajaan Sarawak menghentikan rundingan penjualan elektrik ke Semenanjung dan Singapura dan memberikan peluang usahawan negeri ini terlibat dalam industri tenaga bersih supaya produk mereka boleh dilabelkan sebagai produk hijau.

Pada bulan lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu Sarawak terbuka untuk mengeksport tenaga elektrik bukan sahaja ke Singapura, Indonesia dan Brunei bahkan juga Semenanjung Malaysia, sekali gus menarik pelaburan intensif tenaga.

Ujarnya, ia kerana langkah itu akan memanfaatkan kedua-dua wilayah, khususnya dari segi pelaburan dengan Singapura akan meletakkan pelaburannya di negeri ini.

Katanya, dengan Sarawak telah membekalkan elektrik kepada Kalimantan, Indonesia, maka tidak mustahil untuk membantu Singapura dan Semenanjung dengan tenaga hijau dan boleh diperbaharui yang dijana daripada empangan hidroelektrik melalui penyambungan kabel dasar laut. 

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU

Meruked lancar muzik video baharu

KUMPULAN muzik tempatan Meruked melancarkan single dan muzik video terbaharu mereka berjudul Kining Posah pada Jumaat ini.  Menurut vokalis, Syed Ashraf Edruce, Kining Posah bermaksud

Tarikan ekopelancongan burung walit

AKTIVITI EKONOMI dan keusahawanan penduduk kampung mampu dibangun dan diperkasa melalui pembangunan Projek Ekopelancongan Burung Walit Kampung Merembeh. Projek tersebut membuka peluang pekerjaan baharu dan