Trending

Cikgu cipta pelindung muka

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SARIKEI: Prihatin terhadap pengorbanan jentera barisan hadapan memerangi Covid 19, seorang pendidik tampil dengan inisiatif mencipta pelindung muka untuk kegunaan mereka yang bertugas di bandar ini. Yun Sii Lay, 54, Guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No 1 Kuching terpanggil menghasilkan pelindung muka itu selepas membaca paparan akhbar luar negara.

Menurutnya, pelindung muka merupakan sebahagian komponen paling penting yang perlu dipakai dengan kelengkapan lain sebagai perlindungan tambahan bagi mengelak terdedah virus Covid19. “Saya amat menghargai sumbangan barisan hadapan yang cekal berjuang tanpa mengenal penat dan lelah dalam memerangi wabak ini. “

Rasa tanggungjawab untuk turut sama membantu dan memberi sokongan berterusan kepada barisan hadapan saya zahirkan dengan mencipta pelindung muka ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sii Lay berkata, beliau menggunakan filamen jenis pla dan pencetak 3D sebagai bahan utama untuk menghasilkan pelindung muka berkenaan. Walaupun nampak ringkas katanya, dia terpaksa menghabiskan lebih sejam menyiapkan setiap pelindung muka tersebut dengan bantuan ahli keluarganya.

“Lima pelindung muka yang siap saya derma kepada petugas Majlis Daerah Sarikei (MDS) yang menjalankan pemantauan di kawasan Central Market Sarikei. “Saya sedang menyiapkan 50 lagi pelindung muka untuk disumbangkan kepada petugas di Hospital Umum Sarikei,” katanya.

Beliau berharap masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berganding bahu bersama-sama kerajaan membanteras wabak Covid19 yang melanda dunia ketika ini. “Bagi saya, jasa dan pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan amat besar nilainya. Justeru, ini adalah sebahagian sumbangan saya untuk menghargai mereka. “Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih,” ujarnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru