HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Cikgu Tula hampir ditembak komunis

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

TAHUN 1972 memberi pengalaman paling pahit kepada Cikgu Tula Masrun yang hampir-hampir ditembak oleh komunis apabila senapang diacukan di bahagian rusuk kanannya.

“Turun sahaja saya dan tujuh rakan berbangsa Iban dari perahu di Sekuaw, kami disuruh berhenti oleh komunis yang menjangkakan kami pihak lawan.

“Dalam ramai-ramai kami tujuh orang, saya seorang yang diacukan senapang,” katanya dan menambah, ketika itu beliau berhasrat untuk ke kampung isterinya di Sekuaw.

Bercerita dengan Suara Sarawak di Kampung Tellian Tradisi baru-baru ini, Cikgu Tula yang kini berusia 84 tahun berkata, ketika diacukan senapang, dia hanya mendiamkan diri, manakala rakannya cuba menjelaskan perkara sebenar kepada komunis dalam bahasa Iban.

“Kawan saya pun berkata, anang anang munuhnya, anang nimbaknya nadai salah, nadai penyalahnya, nya ka nemuai ngagai kaban ngai belayan nya, anang, anang, anang.

“Rakan saya juga memberitahu yang saya hanya bekerja sebagai guru di SRK Bawang Balingian.

Mereka tanya lagi tujuan saya ke situ.

“Lebih kurang sejam saya diacukan senapang, pelbagai bicara keluar, akhirnya kami dilepaskan.

Selepas kejadian itu, saya tidak lagi ke sana sebab sangat trauma.

Saya sedia untuk mati jika ditembak pada waktu itu,” jelas bapa kepada lapan anak ini.

Mesra dengan panggilan Cikgu Tula, beliau berkata, jambatan di Setapang turut dicabut dan beberapa bangunan kerajaan diruntuhkan oleh komunis yang dipercayai dari Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) diketuai Jeneral Ubong.

“Memang banyak komunis waktu itu. Sekitar 200 orang. Setiap hari mereka berbaris di padang sekolah, mereka berjalan tanpa alas kaki dan pakaian seragam mereka juga seolah-olah menyamai tentera kita.

“Mereka bina penempatan kecil di atas bukit.

Biasanya mereka mencari makanan di kawasan Setapang dengan merampas makanan penduduk tempatan atau mengambil makanan di kebun penduduk yang dijadikan markas mereka.

“Setiap malam kami takut didatangi komunis. Semua lampu rumah dipadam dan tidur bergelap.

Malah difahamkan penghulu di Sekuaw juga dibunuh ketika itu.

Bagaimanapun akhirnya kebanyakan mereka mati dan ramai yang menyerah kalah,” kata bekas guru Bahasa Inggeris ini.

Bermula dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Malaysia pada 1972, gerakan tersebut berjaya membendung anasir komunisme di pedalaman Sarawak.

Ratusan komunis mati dalam pertempuan dan pada Oktober 1973, Pengarah dan Pesuruhjaya Paraku Bong Kee Chok menulis surat kepada Ketua Menteri Datuk Abdul Rahman Yaakub pada waktu itu, menyatakan hasrat mahu menamatkan penentangan Paraku terhadap Kerajaan Sarawak.

“Di Simanggang termeterainya persefahaman tersebut yang kini menjadikan Simanggang terus dikenali sebagai Sri Aman,” ujarnya yang berasal dari Sungai Teloh atau Kampung Puluh Tellian.

BERSEMBUNYI DI HUTAN

Berkhidmat lebih 33 tahun sebagai guru, datuk kepada 24 cucu dan sepuluh cicit ini mengakui selain komunis, zaman penjajahan Jepun tetap menjadi ingatan pahit kepadanya kerana banyak mengajar erti hidup susah.

Mengimbau kembali ketika Jepun tiba di Mukah jelasnya, semua remaja lelaki bersembunyi di hutan untuk beberapa tahun.

Askar Jepun akan mencari anak muda lelaki untuk dijadikan askar atau kerani selain semua aktiviti menanam padi turut dihentikan.

“Salah seorang penduduk di Kampung Tellian iaitu Nura Girin, juga seorang guru pernah menjadi kerani tentera Jepun, sebab dia pandai, tahu hal surat-menyurat dan tamat standard enam.

Jika dia masih ada, mungkin sekarang dia berusia 98 tahun,” katanya lagi. Ujarnya, Jepun ketika itu terkenal dengan kekerasaan.

“Jika ada nelayan pulang dari menangkap ikan, mereka perlu singgah dan berjumpa pihak Jepun.

Nelayan akan dikenakan cukai. Semua hasil tangkapan diambil.

“Jika melawan, mereka ditembak.

Maka taktik orang Melanau dahulu, balik dari menangkap ikan melalui aktiviti Panau, hasil tangkapan disembunyikan di bawah perahu.

“Tentera Jepun tidak mudah ke kampung ini, namun mereka pernah berkumpul tidur di sebuah rumah penduduk kampung.

Dikatakan lebih 20 tentera Jepun tidur di rumah itu dan askar Jepun ini sangat baik dengan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, mereka tidak dapat lihat orang dewasa.

“Semua meriam milik nenek saya dirampas. Jika tidak kita akan dikasari. Pedang samurai panjangnya tidak terkira.

Apabila mereka geram dan ada benda yang tidak menyenangkan hati mereka, habislah.

“Oleh itu, kami mesti tunduk sebagai tanda hormat.

Jika ada yang ingkar, memang akan dibunuh.

Hukuman mati dengan minum air masin dan dipijak sehingga mati juga ada… itulah hukum Jepun.

“Malah ada kawasan tanah turut dikorek beberapa kaki.

Tahanan akan dimasukkan ke dalam lubang itu, diarahkan berdiri dan dibunuh menggunakan pedang samurai,” ujarnya yang berusia enam tahun ketika itu.

Cikgu Tula berkata, pada 1945, ketika sedang menangkap ngoang, dia terdengar bunyi bom yang dilepaskan dari pesawat.

“Tanah bergegar, sehingga dirasai di rumah kami.

“Saya terpaku melihat di langit. Adik saya dan semua penduduk lain menangis di dalam bilik.

 

Sejak itu, setiap kali kapal terbang melintas di udara, kami cepat-cepat bersembunyi,” ujarnya.

Tambahnya, babak kejar mengejar di langit Mukah antara pesawat perang Australia dan Amerika melawan Jepun mula meledak sejurus peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945.

“Malah jika ternampak ada atap kajang pada perahu nelayan di laut, tentera Australia dan Amerika akan melepaskan bom kerana menjangkakan tentera Jepun bersembunyi di bawah bumbung itu.

“Akhirnya Jepun kalah pada 1945.
Ramai yang pulang ke Jepun dan askar Jepun yang terbunuh, mayat mereka terkubur di dalam Laut China Selatan bersama pesawat mereka.

“Sehinggakan pada suatu ketika, penduduk Mukah dikatakan tidak berani makan ikan laut kerana dipercayai ada ikan yang memakan bangkai mayat tentera Jepun,” katanya.

Jelasnya lagi, dari 1941 hingga 1945 adalah zaman susah kerana begitu sukar untuk mencari makanan dan bekerja, malah pakaian juga tiada.

Katanya, “Jika Jepun masih lama di Sarawak, golongan wanita mungkin tidak berani keluar rumah.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

31 Mac 2023

Berita Terbaru

Zii Jia kembali ke BAM?

PERSOALAN sama ada perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, kembali ke