Cina, Dayak, Melayu semeja nikmati juadah raya

LIMBANG: Wakil rakyat Limbang menggunakan platform hari raya untuk menyantuni masyarakat Islam di pesisir Limbang.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah dan Adun Batu Danau Paulus Paulu Gumbang pergi berkunjung ke beberapa rumah masyarakat Melayu di pesisir sungai.

Budaya saling mengunjungi ini merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat selain menyemai semangat kerjasama serta muhibah dalam kalangan masyarakat.

Melalui budaya ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kaum yang boleh sudah boleh dianggap seperti keluarga di sini.

Menurut Hasbi, budaya kunjung mengunjungi ini setiap tahun dilakukannya jika mempunyai kelapangan.

“Hal ini bukan sahaja akan mengeratkan silaturahim, malah dapat mendekati rakyat serta mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka.

“Selain itu, saya juga berpeluang melihat pembangunan yang sedang dan akan dilakukan di kawasan tersebut,” katanya.

Turut serta semasa kunjung mengunjung pada hari itu ialah Ketua Pemuda Batu Danau, Elvis Mathew Bungsu, Pemanca Kaum Bisaya, Jun Silah serta ahli PBB Batu Danau.

Katanya, budaya itu menjadi gelanggang mewujudkan persefahaman yang lebih erat dalam kalangan penduduk di samping platform penyatuan hubungan kekeluargaan dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum dan kepercayaan agama.

“Hari Raya bukan sahaja disambut oleh mereka yang beragama Islam, namun turut disambut oleh mereka yang bukan beragama Islam.

“Buktinya, penyertaan Paulus bersama rombongannya menunjukkan hubungan masyarakat Limbang sangat utuh walaupun berlainan agama dan bangsa,” ujar beliau.

Suara Sarawak