
KOTA SAMARAHAN: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memainkan peranan penting untuk memastikan sasaran memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini berjaya dicapai.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun harapan tersebut agak tinggi tetapi dengan semangat perpaduan serta kerjasama erat dalam kalangan jentera parti, beliau percaya ia mampu dicapai.
“Kita mahu melihat sejarah berlaku di bumi Sarawak, dengan GPS memenangi semua 31 kerusi Parlimen, kerana rekod tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Adun Asajaya itu berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Jentera GPS P197 Kota Samarahan di The Summer Shopping Mall, dekat sini, malam tadi.
Tambahnya, Parlimen Kota Samarahan juga menyaksikan jumlah pengundi meningkat sehingga dua kali ganda pada PRU-15 ini.
“PRU-14 menyaksikan jumlah pengundi di sini sekitar 40,000 dan calon Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang meraih majoriti 16,992 atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu.
“Namun, pada PRU-15 ini jumlah pengundi di sini adalah sebanyak 82,229 sekali gus meningkat dua kali ganda, saya berharap agar kita dapat mencapai majoriti lebih 30,000 kali ini.
“Mari kita tunjukan bahawa Kota Samarahan adalah kubu terkuat GPS. Insya-Allah jangan menang ‘alang-alang’ kita mahu menang bergaya sekali gus menunjukkan kepada Semenanjung bahawa Sarawak bersatu di bawah GPS ,” tegasnya.
