Trending

Citra dan latar kota dalam sajak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Zainal Abdin Haji Zuhaili (Abizai)

ZAINAL ABIDIN HAJI SUHAILI atau nama penanya, Abizai, bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera) dan kini memegang jawatan Ketua I sejak tahun 2002. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/ 2001 melalui Kumpulan Puisi Membentuk Elok di Teluk Esok, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008-2009. Beliau telah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada tahun 2017 sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak kelima pada tahun 2020

CITRA atau imej merupakan gambaran dengan kata-kata yang dihasilkan untuk menyampaikan maksud dalam sajak.

Gambaran tersebut tidak hanya bersifat visual, tetapi juga dapat menyentuh fikiran dan perasaan.

Mampu menciptakan bayangan dalam benak pembaca.

Dengan daya bayang, sajak tidak hanya digunakan sebagai wadah memberitahukan apa yang dialami oleh penyair tetapi juga untuk melihat, mendengar, memikir dan merasakan seperti penyair itu sendiri.

Citra digunakan untuk memberikan gambaran yang jelas dan hidup dalam fikiran dan perasaan dan menimbulkan suasana khusus.

Burhan Nagiyantoro (2015:304) menyatakan bahawa citra merupakan penggunaan kata-kata atau ungkapan dalam karya sastera yang memiliki fungsi penting untuk membangkitkan respons sensorik penikmat karya sastera.

Latar pula berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cereka atau puisi.

Latar penting dalam mengembangkan tema, persoalan dan perwatakan.

Menurut Abrams (dalam Nurgiyantoro, 2015:302), latar menunjukkan pengertian pada tempat, hubungan waktu sejarah dan lingkungan sosial tempat terjadinya peristiwaperistiwa yang diceritakan.

Latar waktu merupakan ruang waktu yang menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarah dan musimnya.

Latar tempat merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, cuaca dan sebagainya yang terdapat dalam cerita.

Latar masyarakat pula menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa, status, kehidupan sosial, ekonomi dan sebagainya.

Latar belakang penyair/penulis pula merupakan sejarah, pengalaman, pendidikan, pandangan dan pegangan hidup yang terpancar kembali melalui karyakarya.

Menurut Grebstein (dalam Damono, 1978:4), karya sastera tidak dapat difahami secara lengkap apabila dipisahkan daripada lingkungan atau kebudayaan atau peradaban yang telah menghasilkannya.

Penyair pula merupakan ahli masyarakat yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan institusi sosial yang lain.

Sebagai ahli masyarakat kota dan desa, mereka terlibat sepenuhnya dalam aktiviti masyarakat.

Turut berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan dan seterusnya mencetuskan pemikiran dan menyentuh perasaan mereka.

Karya sastera mereka tercipta hasil daripada pengamatan dan renungan terhadap pengalaman diri dan masyarakat.

Tulisan ini akan membicarakan tentang sajaksajak yang dimuatkan dalam antologi sajak, Miri, Kota Cinta yang diciptakan dengan citra dan lingkungan sebuah kota.

Antologi ini memuatkan 78 buah sajak yang ditulis oleh 50 orang penyair negeri Sarawak daripada pelbagai latar belakang dan generasi.

Perbezaan latar belakang dan generasi tersebut telah menghasilkan pengalaman luaran dan dalaman yang beraneka untuk diketengahkan dalam sajak.

Di sebalik perbezaan dan kepelbagaian berkenaan, mereka disatukan oleh latar tempat atau lingkungan yang sama iaitu di kota Miri.

Penerbitan antologi ini bersempena dengan Majlis Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2021.

Majlis Pengucapan Bandar Raya Miri merupakan acara kerjasama setiap tahun antara Majlis Bandar Raya Miri, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Persatuan Penulis Utara Sarawak.

Penerbitan antologi ini merupakan usaha susulan mendokumentasikan tentang Miri melalui sajak setelah lahirnya antologi Miri, Kota Bianglala bersempena dengan Majlis Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2019.

Para penyair memerikan citra kota setelah melihat, menghayati, dan merenungi kulit dan isi Bandar Raya Miri serta sekitarnya dengan mata hati dan mata seni seorang penyair yang tajam, halus, jujur dan kritis.

Mereka merakam dan mentafsirkan kota yang tumbuh daripada pertembungan pelbagai nilai dan budaya.

Bergelumang dan matang bersama peradaban manusia kota.

Melalui pengalaman hidup yang berbeza di kota, lahirlah sajak-sajak yang membawa tanggapan yang beraneka tentang kota.

Antara sejarah dengan masa hadapan, kebaikan dengan kejelikan, penghargaan dengan kritikan, impian dengan harapan.

Semua ini menjelma daripada rasa cinta yang mendalam terhadap Miri.

Kota yang membentangkan kesejahteraan, kemakmuran dan ketenangan buat para penghuninya.

Kota yang indah, pesat membangun, kaya dengan alam semula jadi dan sejarah.

Miri bukan sahaja dicintai oleh para penduduk tempatan malah keindahan, kedamaian dan keunikannya telah menyebabkan ramai pengunjung dan pelancong turut jatuh hati.

KEMAJUAN

Pembangunan dan Sejarah Miri mengalami pembangunan dan kemajuan yang cepat dan pesat kerana bahagian ini kaya dengan sumber asli, terutama sekali, petroleum.

Melalui sajak Luar Biasa (2021:65), Samasu Johari melahirkan rasa kekaguman terhadap perubahan dan kemajuan pesat yang terjadi di bandar raya Miri.

Kekaguman tersebut menjelma berlatarkan wajah Miri dahulu dan masa kini.

Menurut penyair:

Luar biasa pesatnya

walaupun baru seabad

kulihat tubuhmu kian sarat,

jeti nelayan kini jadi gerbang kota

sumur berharga pertama di

puncak Bukit Kanada

kini terhampar di lautan Laconia.

Luar biasa perubahannya

tepian pasir dulunya

cangkerang terbuang

kini gah hotel berbintang

malamnya kerdipan bintang

siangnya lelayang terbang

meninggalkan sarang di kota pelancongan.

Luar biasa tahapnya

muara berlakarkan Taman Marina

tanjung menjadi suite yang ada kelasnya

The Grand Old Lady kini muzium petroleum

kuda laut seakan diam tersenyum

mengintai menu di Coco Cabana

mencari jeti panjang entah ke mana

yang ghaib di alam nostalgia.

Taman Marina, Coco Cabana, hotel lima bintang dan kota pelancongan menggambarkan kemajuan dan pembangunan masa kini.

Jeti nelayan, jeti panjang dan cangkerang terbuang pula melambangkan wajah masa silam yang telah menghilang.

Poul Nanggang turut merakamkan tentang kepesatan pembangunan dan kemajuan Miri sehingga menjadi kota yang gah dan makmur di Nusantara melalui sajak Miri, Kota Megah di Nusantara (2021:59).

Dalam rangkap kedua, penyair mengatakan:

Miri bangun ternama dari

cecair hitam berharga

kini, kota ini antara kota

megah di dunia

menjadi satelit

perlombongan minyak negara

di usaha pelbagai syarikat

luar dan dalam negara

hasil untung yang tiada

terkira bagi yang berjaya

antara aset utama nusa

dalam dunia dagang bangsa

hakikatnya sekadar sesen

dua masuk ke poket kita

orang asing mampu

mencipta kaya di kota Miri

kini, tumbuh pula pokok

berbuah emas di sini,

kelapa sawit antara komoditi

ada di sini

hasil sumber terkini tumbuh

tidak terperi diterokai oleh pelbagai

lapisan masyarakat yang ada

berlumba-lumba menikmati

dan mengaut keuntungannya.

Citra kemakmuran Miri muncul dalam ‘cecair hitam berharga’ dan ‘pokok berbuah emas’.

Para penduduk tempatan dan orang luar bersaing untuk menuai hasil sumber galian dan tanaman yang subur di kota bertuah ini.

Menurut penyair, orang asing juga mampu mencipta kaya di kota Miri kerana hasil sumbernya yang tidak bertepi.

CITRA

Dalam sajak Sebagai Tanda Bakti (2021:9), Abdul Aidil Aziz melukiskan citra Bandar Raya Miri berlatarkan tempat, arca dan bangunan seperti Bukit Kanada, Tanjung Lobang, The Grand Old Lady, Pelita Tengku, Permaisuri Mall, Bintang Mall, dan Imperial Mall. Penyair mengungkapkan:

Di sini

telaga minyak pertama digali

di Bukit Kanada

bergelar Grand Old Lady,

sang ibu yang menyusukan

kemakmuran

buat anak-anak tempatan.

Di sini

Pelita Tunku berdiri

sebelum lahir adinda

Imperial, Bintang dan

Permaisuri

sentiasa dihurungi warga kota

tempat berhibur dan

berbelanja

walaupun hampir bersara kini

jasamu Pelita Tunku sentiasa

diingati.

Di sini

Tanjong Lobang telah

menjadi saksi

tempat penjajah mula

beraksi,

tetap teguh

berdirinya rumah api

memberi sinar kepada

pelayar

ketika cahaya purnama

menyepi.

Di sini

semuanya masih berbaki

sebagai tanda mereka

pernah sarat berbakti

kepada Miri.

Bangunan dan tempat yang disebut penyair merupakan citra pembangunan dan kemajuan kota dalam sejarah pertumbuhan kota Miri.

Penyair tidak sekadar menyebutkan nama tempat atau bangunan tetapi turut merenungi sejarahnya yang banyak menyumbang kepada kemakmuran Miri.

Telaga minyak pertama (The Grand Old Lady) diibaratkan seperti seorang ibu yang banyak berjasa, ‘menyusukan kemakmuran’ kepada warga Miri untuk sekian lama. 

Hal yang sama dinyatakan oleh Jerrah Amirah melalui sajak Ceritera Orang Minyak (2021:40). Penyair menulis:

Aku terpaku pada empat

sosok kekar bisu

keringatmu merah bermandi

rona senja

segunung tenaga empat

kerat tertumpah menggali

telaga rezeki

untuk anak isteri jua

membangun negeri.

Sapaanku ditelan kegirangan

para wisata

berswafoto menjadi agenda

utama

dakapan itu membawa sejuta

makna

sekadar mencipta arca

memori atau menghirup makna dari

cangkir mengerti.

Aku mohon permisi wahai

wira perkasa

salam terima kasih untuk

selaut jasa

sejarah 111 tahun merakam

suka duka

dulu Miri pekan kecil kini

gah di dunia

jolokan orang minyak tiada

hina

bandar raya ternama taman

sakinah jelata.

Selamat malam adiwira

lenalah berada di puncak

singgahsana

lepaskan lelah seabad untuk

esok yang bermakna.

Telaga minyak pertama di Malaysia (The Grand Old Lady) diumpamakan bagai “segunung tenaga empat kerat yang menggali rezeki untuk membangunkan negeri.

”Sebagai warga Miri yang kenal sejarah, penyair tahu menghargai jasa dengan ungkapan “salam terima kasih untuk selaut jasa.”

Sejarah penemuan minyak yang menjadi punca pendapatan warga dan sumber pertumbuhan kota Miri berjaya dihayati oleh penyair dengan mendalam.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

SANGGAR PUISI

SARAH ROSS4 November 2023Bukit Katil. Maafkan Untuk Ingatan  Yang Sering

HUJAN JATUH KE PASIR

Karya: AMERSARAWAKSADONG JAYA. “Salam… semua. Ada tak sesiapa yang ada

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru