CNS mengadakan Majlis Gawai Raya raikan 200 ahli

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Negeri Sarawak (CNS) telah mengadakan sambutan Majlis Gawai Raya di Dewan Brooke, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang Kuching hari ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran seramai lebih 200 orang ahli-ahli kesatuan gabungan dibawah naungan CNS.

Menurut Ahmad Malie selaku Pengerusi CNS berkata terdapat 18 buah kesatuan sekerja dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri telah bergabung dibawah CNS.

Beliau turut melahirkan rasa kegembiraan kerana ahli-ahli gabungan CNS sentiasa mengamalkan semangat perpaduan yang menjadikan CNS sentiasa dalam keadaan yang harmoni.

Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Sahabuddin Omar. Beliau turut memanjatkan kesyukuran kerana berkesempatan hadir ke majlis berkenaan dan dapat berpeluang mengenali kepimpinan CNS.

“Saya menyeru agar pihak CNS sentiasa menghubungi kita kerana kita sentiasa mengamalkan amalan pintu terbuka kepada mana-mana pihak terutama Cuepacs,” katanya.

Dalam majlis tersebut CNS turut menyampaikan angpau Gawai Raya dan hamper yang disumbangkan oleh pihak MBSB Bank kepada 20 orang murid-murid pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Kuching.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah IPGK Batu Lintang Jamiran Salam, Setiausaha Agung Cuepacs Malaysia Haj Adnan Mat dan Setiausaha CNS, Hj Omar Bahrein Unin.

 

Haji Sahabuddin sedang menyampaikan angpau Gawai Raya dan hamper kepada salah seorang murid pendidikan khas.

 

Sebahagian daripada ahli-ahli yang hadir bergambar dengan Setiausaha Persekutuan,Mohd Sahabuddin (duduk tengah).