Contohi cara kepimpinan Rasulullah bawa perpaduan antara kaum

BINTULU: Masyarakat Islam, khasnya di bahagian ini perlu mempertahankan semangat bersatu padu antara satu sama lain bagi memastikan perpaduan, keamanan dan ketenteraman yang dinikmati hari ini tidak  tergugat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) Datuk Haji Talib  Zulpilip turut mengingatkan masyarakat di bahagian ini supaya sentiasa mempraktikkan amalan bersatu padu, saling bekerjasama serta bertoleransi agar keamanan, keharmonian serta kestabilan politik dan perpaduan antara kaum tidak mudah diganggu gugat oleh anasir jahat yang ingin memecah belahkan senario tersebut.

Malah, beliau  turut menyifatkan rakyat di negara ini, khususnya masyarakat Islam sebagai bertuah ekoran dapat  hidup dalam keadaan aman damai, tenteram dan harmoni.

Justeru,katanya, masyarakat Islam perlu mengekal sekaligus mempertahankan senario tersebut agar  tidak berlaku perpecahan di kalangan umat Islam sebagaimana yang terjadi di kebanyakan negara Islam yang lain di Timur Tengah seperti Syria.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan masyarakat Islam khususnya Bintulu agar mencontohi kepimpinan Rasulullah SWT dan para sahabat beliau.

Sarawak merupakan negeri yang bertuah dan mempunyai kepelbagaian bangsa dan kaum serta anutan, ujarnya berucap pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M di Dataran Esplanade, di sini.

Namun, ia bukan penghalang kepada penyatuan masyarakat ke arah menjadikan negeri kita harmoni dan sejahtera sepanjang zaman,ujarnya sambil menjelaskan senario tersebut dapat dibuktikan dengan pengajaran sirah Baginda SAW yang mana telah mempersaudarakan kaum muhajirin dan Ansar dalam peristiwa hijrah, dan menjadikan Piagam Madinah sebagai tunjang pentadbiran dalam masyarakat yang berbilang bangsa.

Justeru, tegas Talib, bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini, “Ummah Gemilang” adalah  penting untuk masyarakat Islam menghayati dan menterjemahkan makna yang sebenar dalam membentuk kegemilangan masyarakat majmuk yang dimulakan dengan pembinaan asas dalam institusi kenegaraan agar perjuangan kita semua tidak menjadi sia-sia dan diberkati Allah selamanya.

Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Husaini Hakim, Setiausaha Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu, Ustaz Azhar Hipni, Temenggong  Haji Rosli Kamarudin hadir sama.

Seramai 90 kontigen membabitkan 6,000 peserta mewakili jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, firma swasta, institusi kewangan, masjid dan surau, persatuan, kelab dan pertubuhan, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan rendah sekitar Bahagian Bintulu menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1441H yang diadakan di Dataran Esplanade, di sini.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, jawatankuasa pengelola turut menyediakan pelbagai  program  pengisian   program  termasuk  tazkirah agama yang disampaikan  oleh Imam Muda Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin, persembahan nasyid, penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang disamping  perarakan  dan  pertandingan  sepanduk.

Sambutan  bertemakan  Ummah Gemilang itu  berobjektif   agar  umat  Islam khasnya  memperingati kelahiran   junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Suara Sarawak