Covid-19: 121 kes positif di Sarawak hari ini

KUCHING: Sebanyak 121 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 4,676.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan hari ini berkata kes tertinggi dicatatkan di Sibu iaitu sebanyak 37 kes diikuti Miri (25) dan Kapit (21).

Selain itu ialah Dalat (10), Bintulu (9), Bukit Mabong (4), Kuching (3), Song (3), Beluru (3), Serian (2), Sarikei (1), Kanowit (1), Julau (1) dan Selangau (1).

Daripada jumlah kes di Sibu, lima kes adalah melibatkan petugas kesihatan, selain di Miri yang membabitkan tiga petugas kesihatan.

Manakala, kluster Pasai terus menular di Kapit apabila mencatatkan 19 kes termasuk di Dalat sebanyak lima kes.

Sementara, 12 kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bintang Daily di Meradong, Kluster Jalan Pengiran di Matu, Kluster Bedayan di Serian, Kluster Tabong di Bau.

Selain itu Kluster Indah Riang, Kluster Keranji Tabuan dan Kluster Stutong di Kuching, Kluster Rakut, Kluster Bah Sayap dan Kluster Jelita di Miri, Kluster Bukit Sekubong di Sebauh, Kluster Pasai di Sibu.

Suara Sarawak