KUCHING: Sejumlah 2,825 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 193,434.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, catatan itu menyaksikan kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) sebagai penyumbang terbesar kes iaitu 2,812 bersamaan 99.54 peratus.
“Selebihnya masing-masing empat kes dalam kategori 3 dan 4, manakala lima dalam kategori 5 iaitu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.
“Dalam pada itu, antara daerah yang melaporkan jangkitan kes tiga angka adalah Kuching dengan 744 kes, Sibu (324), Miri (319), Bintulu (235), Sri Aman (146) dan Serian (126),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu jelasnya, sebanyak 14 kematian direkodkan bermula 14 September lalu hingga hari ini dengan tujuh daripadanya merupakan jenazah dibawa ke hospital atau brought in dead (BID)
“Ia melibatkan lima wanita dan sembilan lelaki berusia lingkungan 43 hingga 86 tahun,” tambahnya.