Covid-19: 204 discaj, 183 kes baharu, tiga kematian

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan tiga kes kematian di Hospital Sibu akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 94 orang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kesemua kes adalah lelaki warga emas tempatan masing-masing berusia 72, 84 dan 69 tahun.

“Sementara itu, hari ini terdapat 183 kes positif baharu dengan 73 di Sibu, Miri (22), Bintulu (17), Kapit (17), Julau (12), Kuching (12), Meradong (7), Betong (6), Samarahan (4), Sarikei (3), Selangau (3), Saratok (2), Sri Aman (2), Belaga, Dalat dan Tanjung Manis masing-masing satu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 12,885 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPBNS, daripada 183 kes baharu, seramai 23 orang menunjukkan gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Sebanyak 154 kes yang dikesan adalah individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan dengan 153 kontak rapat kes positif dan satu kes balik dari kawasan berisiko tinggi (Import B),” jelasnya.

Ujar JPBNS lagi, hari ini terdapat 204 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan keseluruhan seramai 10,401 orang telah sembuh di Sarawak, manakala kes yang masih aktif adalah seramai 2,343 orang.

Suara Sarawak