Covid-19: 221 kes baharu, 1 kematian di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 221 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, dengan satu kematian.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi kes kematian, ia melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 58 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa dikesan positif Covid-19 pada 7 Februari dan keadaan kesihatannya didapati merosot, sebelum disahkan meninggal dunia pada 20 Februari.

Katanya kes juga mempunyai komorbid “Mixed Connective Tissue Disease (MCTD) with pulmonary involvement”.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Manakala bagi kes baharu Covid-19, Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 36 kes berbanding semalam.

Katanya daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Kuching (67), Sibu (63), Bintulu (28), Meradong (24), Kapit (15), Samarahan (11), Miri (5), Bau (3), Subis (2), Beluru (1), Betong (1) dan Kanowit (1).