Covid-19: 221 kes baharu, 3 kematian

KUCHING: Kes jangkitan Covid-19 di Sarawak belum menunjukkan tanda-tanda penurunan ketara apabila mencatatkan 221 kes positif baharu dan tiga kematian hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ini menjadikan keseluruhan 10,895 kes positif dan 87 kematian direkodkan di negeri ini.

“Daripada 221 kes baharu, 79 daripadanya di Sibu, Bintulu (33), Betong (32), Kuching (17), Kapit (12), Julau (10), Serian
(10), Meradong (8), Miri (5), Sebauh (5), Bau (3), Selangau (3), Pusa (2), Sarikei (1) dan Tatau (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian, kes ke-85 melibatkan lelaki tempatan berusia 42 tahun, mempunyai comorbid penyakit jantung iskemia, darah tinggi, kencing manis, gout dan dislipidemia serta meninggal dunia di Hospital Miri.

“Kematian seterusnya adalah lelaki berumur 53 tahun di Hospital Bintulu dan perempuan berusia 58 tahun di Hospital Sibu dengan masing-masing mempunyai masalah kesihatan kencing manis, obesiti, darah tinggi dan dislipidemia,” jelasnya.

Tambah JPBNS, sejumlah 258 kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, manakala sejumlah 2,372 kes masih aktif serta mendapat rawatan di hospital dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Suara Sarawak