Covid-19: 225 Ke baharu termasuk 6 kes import (kategori B) hari ini

KUCHING: Sebanyak 225 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 13,110 kes.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kesemua kes dilaporkan di Daerah Miri (88), Kuching (32), Bintulu (30), Serian (18), Sibu (13), Sri Aman (12), Kapit (11), Meradong (7), Bukit Mabong (5), Betong (4), Samarahan (4), dan Song (1).

“Daripada 225 kes baharu yang dilaporkan, seramai 28 orang telah menunjukkan tanda dan gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya 184 kes lagi adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan.

Tambahnya mereka ini terdiri daripada 178 orang yang merupakan individu yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan enam orang adalah individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi (Import B).

Secara ringkas kes-kes ini terdiri daripada 142 kes yang merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 (3 orang bergejala).

Manakala 36 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (13 orang bergejala) dan 32 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan (3 orang bergejala).

Sementara sembilan kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan enam kes melibatkan individu yang balik dari negeri-negeri lain dalam Malaysia yang dikategorikan sebagai kes Import B.

Suara Sarawak