Covid-19: 276 kes baharu dikesan, satu kematian

KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun menjadi mangsa kematian Covid-19 di Sarawak, hari ini, dan sekali gus menjadikan jumlah kematian di negeri ini meningkat kepada 97 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mangsa yang merupakan kes positif ke-12,907 itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami kesukaran pernafasan.

“Kes mula demam serta batuk sejak beberapa minggu yang lepas dan ujian saringan rT-PCR mangsa didapati positif pada 16 Mac lalu.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan mangsa didapati merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada 19 Mac dan mangsa mempunyai ko-morbid penyakit buah pinggang tahap akhir, kencing manis serta darah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kes positif baharu di Sarawak, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mendedahkan terdapat 276 kes positif baharu Covid-19 dikesan, hari ini.

“Sebanyak 68 kes dikesan di daerah Sibu, Bintulu (66), Miri (50), Julau (25), Kuching (19), Meradong (16), Serian (10), Betong (5), Kapit (5), Sri Aman (3), Subis (3), Song (2) dan satu kes masing-masing di Samarahan, Sarikei, Sebauh dan Tanjung Manis.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 14,250 kes,” jelasnya.

Suara Sarawak