Covid-19: 34 kluster masih aktif, 12 dengan penambahan kes, 22 kekal

KUCHING: Daerah Marudi kekal berstatus hijau susulan kes jangkitan tempatan baharu yang dilaporkan di daerah itu semalam adalah kes di bawah daerah Beluru, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, setelah siasatan lanjut di buat, satu kes jangkitan tempatan baharu yang dilaporkan di daerah Marudi itu adalah kes di bawah daerah Beluru yang mendapat jangkitan semasa berkunjung ke Miri.

“Maka dengan itu, daerah Marudi masih kekal berstatus hijau dan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan daerah berstatus hijau sebanyak sembilan daerah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, daerah Bau telah kembali ke status kuning daripada status jingga setelah merekodkan hanya 14 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas. “Ia menjadikan jumlah daerah berstatus kuning di Sarawak sebanyak 17 daerah, 12 daerah kekal berstatus merah dan dua daerah berstatus jingga,” jelasnya.

Sementara itu, Uggah mendedahkan Kluster Sebangkoi, Sri Aman diisytiharkan tamat pada hari ini setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari dari tarikh terakhir kes dikesan melibatkan kluster itu.

Susulan itu katanya, sebanyak 34 kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu 12 kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes dan 22 kluster lagi tidak ada penambahan kes.

Suara Sarawak