Covid-19: 361 kes baharu, rekod tertinggi S,wak setakat ini

KUCHING: Sarawak mencatatkan angka tertinggi positif Covid-19 dengan 361 kes. Miri menjadi bahagian yang telah melaporkan kes tertinggi berikutan wabak melibatkan pekerja di pelantar minyak Baram.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bahagian Miri telah melaporkan bilangan kes baru tertinggi bagi Sarawak hari ini iaitu 89 kes manakala Daerah Subis mencatatkan 11 kes.

Jelas beliau, sebanyak 49 kes yang dikesan di daerah Miri adalah dari Pelantar Minyak dan Gas Baram. Kluster ini terjadi disebabkan terdapat pekerja ulang-alik harian yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, dan terdedah kepada jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko tinggi.

“Kes indeks dikesan semasa saringan pengawasan bagi pekerja setiap 7 hingga 10 hari dan semua pekerja yang terdedah telah disaring dan dikuarantinkan di pusat kuarantin. Pelantar berkenaan juga telah disanitasi.

“Kluster ini adalah terkawal kerana terhad kepada jaringan pekerja di platform bekenaan,” beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Tambah Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, sebahagian besar kes-kes lain yang dikesan di Daerah Miri dan Subis pada hari ini merupakan kontak kepada kes positif dan telah diasingkan di pusat kuarantin atau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan semasa keputusan diperolehi.

“Daerah-daerah lain yang mencatat kes positif Covid-19 adalah Sibu (73), Bintulu (71), Betong (60), Kuching (22), Sarikei (9), Mukah (8), Kapit (6), Selangau (4), Serian (4), Meradong (3) dan Julau (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 10,424 kes,” katanya.

Suara Sarawak