KUCHING: Sebanyak 694 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini, dengan 13 kematian direkodkan dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober lalu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata bagi kes kematian, sembilan direkodkan di Sibu, melibatkan lima wanita dan empat lelaki.
“Dua lagi kes kematian direkodkan di Miri melibatkan lelaki serta satu kes masing-masing di Limbang (lelaki) dan Kuching (wanita),” katanya dalam kenyataan.
Sementara bagi kes positif, JPBN berkata Kuching mencatatkan kes tertinggi sebanyak 187 kes diikuti Miri (139), Sibu (88), Bintulu (32), Lawas (29), Limbang (26), Saratok (23), Mukah (23), Serian (18), Pusa (18), Sarikei (14), Daro (13), Kapit (11) dan Sri Aman (9).
Selain itu Betong, Simunjan dan Bau masing-masing 7 kes, Lubok Antu (6), Samarahan (5), Kanowit dan Pakan (4) manakala Dalat, Matu, Subis, Beluru, Meradong, Julau, Selangau, Bukit Mabong, Tebedu dan Sebauh masing-masing mencatatkan dua kes dan Lundu, Kabong, Belaga serta Marudi masing-masing satu kes.
Dalam pada itu, JPBN memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di dua kawasan iaitu Rh. Suyong, Stumbin F, Tanjung Bijat di Sri Aman (18 hingga 27 Oktober) dan Rh. Lanja, Sg. Merudu Sarikei (19 hingga 28 Oktober).