Covid-19 akibatkan kematian 10 kali ganda berbanding H1N1

GENEVA: Covid-19 mengakibatkan kematian 10 kali ganda berbanding wabak H1N1 yang pernah menyebabkan pandemik global pada 2009.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya melakukan penyelidikan berterusan berkaitan virus itu secara global. Sehingga kini, wabak ini menyebabkan kira-kira 115,000 kematian dan 1.8 juta jangkitan di seluruh dunia.

Menurut WHO, sejumlah 18,500 kematian akibat H1N1 yang pertama kali ditemui di Mexico dan AS pada Mac 2009, namun perubatan Lancet menganggarkan angka kematian itu antara 151,700 hingga 575,400.

Kajian Lancet itu termasuk anggaran kematian di Afrika dan Asia Tenggara yang tidak diambil kira oleh WHO. Wabak itu, yang diisytiharkan sebagai pandemik pada Jun 2009 dan dipertimbangkan pada Ogos 2010, namun ternyata ia bukan dahsyat seperti pertama kali digambarkan.

Berdasarkan pengalaman lalu, vaksin dikeluarkan dengan tergesa-gesa, di Barat khususnya Eropah dan WHO dikritik kerana bertindak keterlaluan ketika epidemik tahunan influenza itu meragut nyawa kira-kira 259,000 hingga 500,000 setiap tahun, menurut WHO.

Pada Isnin, Tedros turut menyuarakan kesedihannya apabila melihat sesetengah negara mempunyai kes Covid-19 dua kali ganda setiap tiga hingga empat hari.

Namun, beliau menegaskan jika negara terus komitmen mencari kes awal, melakukan ujian, pengasingan dan menjejak kontak rapat, virus itu dapat dibendung.

Lebih separuh daripada populasi dunia kini berkurung di dalam rumah sebagai sebahagian daripada usaha membendung Covid-19, namun Tedros memberi amaran ‘kesalinghubungan global bermaksud risiko berulang semula dan peningkatan jangkitan berterusan’.

Beliau menegaskan walaupun Covid-19 merebak dengan pantas, namun ia menurun dengan perlahan.

Dengan usaha yang dilakukan, WHO akui akhirnya pembangunan dan pemberian vaksin yang selamat dan efektif diperlukan untuk memutuskan penyebaran wabak terbabit. Vaksin itu perlu dihasilkan sekurangkurangnya 12 hingga 18 bulan. – AFP

Suara Sarawak