Covid-19: Betong dan Kanowit kini zon merah, kluster baharu di Sungai Buloh, Selangau

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan satu
kluster baharu iaitu Kluster Buloh di Daerah Selangau, Sibu menjadikan sejumlah 27 kluster masih aktif di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS ) berkata, ia adalah kluster komuniti melibatkan tiga buah rumah panjang di kawasan Sungai Buloh dengan indeks kes seorang wanita tempatan berumur 32 tahun dikesan melalui saringan bergejala pada 21  Februari 2021 lalu.

“Jangkitan merebak melalui pergaulan rapat dalam kalangan penduduk di rumah panjang yang terlibat.

“Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat mendapati seramai 27 kes positif baharu dikesan dan kesemua kes termasuk kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Sejumlah 68 individu telah disaring, 36 negatif, dan empat masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS berkata Daerah Betong dan Kanowit bertukar ke status merah setelah masing-masing merekodkan 46 dan 45 kes jangkitan  tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Selangau pula bertukar ke status jingga setelah merekodkan sejumlah 40 kes, manakala Pusa dan Song bertukar ke status kuning.

“Sementara sembilan lagi daerah kekal zon merah iaitu Meradong, Kuching, Samarahan, Julau, Subis, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu,” ujar JPBNS.

Tambah JPBNS, Bau, Bukit Mabong, Dalat dan Sri Aman pula kekal berstatus jingga, selain Asajaya, Beluru, Sarikei, Lundu, Saratok, Sebauh, Tatau, Pakan, Serian dan Belaga kekal zon kuning, manakala 12 daerah lain kekal berstatus hijau.

Suara Sarawak