Covid-19 cetus kreativiti, inovasi

COVID-19 telah membawa malapetaka kepada kehidupan manusia di seluruh dunia dan tidak terkecuali Malaysia dan Sarawak. Di negara ini, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu untuk mengekang penularan pandemik ini.

Ekoran itu, pendapatan rakyat terjejas teruk hingga ada yang hilang punca pendapatan malah pekerjaan. Malah ini juga memaksa kerajaan baik di peringkat pusat mahupun negeri mengeluarkan peruntukan yang begitu banyak untuk membantu meringankan beban rakyat.

Namun dalam mengharungi PKP sekitar empat bulan ini, ada juga hikmah yang berlaku. Paling ketara apabila setiap orang mula mengamalkan kebiasaan baharu dalam kehidupan iaitu menjaga kebersihan diri pada tahap tertinggi, menjaga penjarakan sosial dan sebagainya. Antara lain, bagaimana setiap orang meneruskan kelangsungan hidup dengan menjana pendapatan sendiri, setelah hampir keseluruhan sektor pekerjaan ditutup.

Di sinilah kita dapat melihat bukan sahaja golongan usahawan, malah orang yang bekerja sebelum ini mula berkreativiti dan berinovasi dengan memanfaatkan ekonomi digital dalam mencari pendapatan.

Para usahawan beralih kepada platform pemasaran digital untuk menjual produk-produk dan ini secara tidak langsung membantu menghidupkan semula perniagaan mereka.

Malah amalan e-dagang ini juga mula menular dalam kalangan orang yang bukan usahawan termasuklah mereka yang tinggal di luar bandar. Contoh ringkas, apabila ada yang menjual makanan dan minuman yang hanya diproses di rumah mengguna pakai platform digital seperti Facebook, WhatsApp dan sebagainya.

Malah di luar bandar, begitu ramai penduduk yang bercucuk tanam dan memasarkan hasil melalui media sosial sehinggakan sayur yang ditanam tidak cukup untuk dijual. Maka di sinilah kita dapat melihat e-dagang ini mula menjadi norma baharu dalam kehidupan setiap orang, sekali gus mendukung hasrat kerajaan untuk mengembangkan ekonomi digital di negeri ini.

Jika sebelum ini, penerimaan ekonomi digital dalam kalangan rakyat Sarawak boleh dikatakan masih rendah walaupun Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bertungkus-lumus memperkenal dan mempromosikannya.

Ia seolah tidak mendapat sambutan atau tidak diyakini oleh rakyat, mungkin disebabkan oleh kebiasaan kepada gaya hidup konvensional.

Justeru amatlah diharapkan agar amalan e-dagang ini terus berkembang dalam minda rakyat Sarawak kerana ia amat berpotensi mengubah kehidupan setiap orang, baik di bandar, luar bandar mahupun pedalaman.

Syaratnya hanyalah memerlukan liputan Internet berkelajuan tinggi, dan ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan, dan mereka menyedarinya. Usahlah kita malu atau takut untuk menggunakan platform digital bagi menjana pendapatan atau sebagainya kerana inilah perniagaan dan kehidupan masa depan kita.

Bahkan kaedah ini sudah diguna pakai secara meluas di negara-negara maju seperti China. Peluang perniagaan menerusi digital tidak memilih sesiapa tetapi ia terbuka kepada setiap orang. Apa yang perlu, kita harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam ekonomi digital dan ini sudah pasti mampu dilakukan oleh setiap orang.