Covid-19: Daerah dengan status merah meningkat kepada 12

KUCHING: Daerah Beluru telah bertukar ke status Merah daripada Jingga hari ini, setelah merekodkan sejumlah 46 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata, ia menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah meningkat kepada 12 daerah.

“Daerah Tatau pula telah bertukar status ke status Kuning daripada status Hijau setelah merekodkan tiga kes jangkitan tempatan pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau menurun kepada tujuh daerah,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak hari ini.

Tambahnya, daerah Tanjung Manis juga telah kembali ke status Kuning daripada status Jingga setelah merekodkan hanya sejumlah 18 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning meningkat kepada 18 daerah, manakala tiga daerah berstatus Jingga,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPBNS juga memaklumkan hari ini sebanyak 36 kluster yang masih aktif.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak enam kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes.

“Manakala 30 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” jelasnya.

Suara Sarawak