KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan dua lagi kluster baharu akibat jangkitan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dua kluster tersebut dikenali sebagai Kluster Indah Riang di daerah Kuching dan Kluster Bedayan di daerah Serian.
“Kluster Indah Riang melibatkan daerah Kuching, Samarahan, Simunjan dan Saratok dan indeks kes kepada kluster ini ialah kes ke-3,107.
“Kes indeks dikesan pada 23 Januari lalu setelah menjalani saringan Covid-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana bergejala,” katanya semasa sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, hasil pengesanan aktif kontak kepada kes ini telah mengesan 15 lagi kes positif Covid-19.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 128 individu telah disaring di mana 16 individu termasuk dua kes baharu dikesan positif Covid-19, 14 individu negatif dan 98 individu yang masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Bagi Kluster Bedayan, Serian, Uggah menjelaskan ia melibatkan daerah Serian dan Samarahan di Sarawak dan indeks kes kepada kluster ini ialah kes ke-2,545 yang dikesan pada 20 Januari lalu hasil saringan individu yang bergejala di sebuah klinik kesihatan di Serian.
“Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 112 individu telah disaring dan daripada jumlah itu, 13 kes termasuk dua kes baharu hari ini dikesan positif Covid-19, 61 individu negatif manakala 38 individu lagi yang masih menunggu keputusan,” ujarnya.
Susulan penambahan kepada dua kluster baharu itu, Uggah mendedahkan terdapat sepuluh kluster yang masih aktif di Sarawak setakat hari ini.

Buku teks digital atau fizikal?
BARU-BARU ini Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan 50,000 komputer riba pada