Covid-19: Dua kluster baharu muncul di Serian

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan dua lagi kluster baharu Covid-19 di daerah Serian dan Meradong yang sekali gus menjadikan 34 kluster aktif di Sarawak setakat hari ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, kedua-dua kluster itu dikenali sebagai Kluster Depot Imigresen Semuja, Serian dan Kluster Sungai Atap, Meradong.

“Kluster Depot Imigresen Semuja, Serian merupakan sebuah kluster yang melibatkan depot tahanan imigresen di Semuja, Serian.”Kluster ini dikesan apabila Jabatan Kesihatan Bahagian Serian telah membuat saringan ke atas semua anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tahanan di depot itu .

“Ia susulan selepas Jabatan Kesihatan Bahagian Serian mendapat maklumat terdapat individu yang telah didapati positif ujian rT-PCR dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir keluar melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Tebedu di sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia pada 11 Mac lalu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu, hasil saringan awal mendapati anggota JIM yang mengiring PATI yang diusir keluar negatif Covid-19.

“Bagaimanapun, saringan lanjut ke atas semua anggota JIM dan tahanan di Depot Imgresen Semuja, Serian telah dijalankan bagi memastikan punca jangkitan.

“Hasil saringan ke atas semua pegawai dan tahanan di depot tersebut pada 16 dan 17 Mac lalu, didapati seramai 99 orang tahanan telah dikesan positif Covid-19,” jelasnya sambil memberitahu tiada anggota JIM dikesan positif Covid-19 setakat ini.

….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 19 Mac 2021

Suara Sarawak