KUCHING: Terdapat lapan kes baharu positif Covid-19 pada hari ini yang masing-masing dikesan di daerah Kuching dan Miri.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,053 kes.
“Dua kes baharu di daerah Miri telah membabitkan seorang lelaki pelajar universiti tempatan yang pulang dari Kuala Lumpur dan seorang perempuan yang merupakan warganegara tempatan yang dikesan melalui saringan kontak rapat kes sebelumnya.
“Bagi keenam-enam kes di daerah Kuching pula ia difahamkan membabitkan kontak rapat kepada kluster Besi yang diisytiharkan semalam,” ujar kenyataan itu.
Difahamkan kesemua kes telah dimasukkan di wad pengasingan untuk rawatan lanjut di samping pengesanan kontak-kontak lain kepada kes ini sedang giat dijalankan.
Setakat ini, terdapat 16 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 962 orang atau 91.36 peratus.
Manakala, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital pula adalah seramai 72 orang yang membabitkan 63 kes di Hospital Umum Sarawak dan 9 kes di Hospital Miri.
“Hari ini tiada kes Covid-19 yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala, satu kes sedang menerima bantuan alatan pernafasan yang berada di wad pengasingan Hospital Umum Sarawak.
“Turut tiada kes kematian baharu dilaporkan yang menjadikn jumlah kematian kekal seramai 19 orang atau 1.80 peratus manakala 21 PUI baru dilaporkan dan dua PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan itu lagi.