COVID-19: JKNS perjelas isu tular libatkan pesawat ke Miri

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari semalam menjelaskan sudah menjadi ketetapan pihaknya untuk mendapatkan senarai dan butiran penumpang serta kru sesebuah pesawat yang disyaki telah dijangkiti COVID-19 dengan menghubungi syarikat penerbangan berkaitan.

Penjelasan itu dibuat berikutan tangkap layar emel JKNS ke Pusat Kawalan Operasi sebuah syarikat penerbangan swasta berhubung permohonan butiran penerbangan sebuah pesawat pada 26 Feb lepas yang tular di media sosial.

Pengarah JKNS, Dr Chin Zin Hing berkata pihaknya telah mengambil maklum mengenai penularan itu dan akan melakukan penyiasatan berkaitan perkara berkenaan.

Beliau berkata JKNS telah mengesan seorang penumpang penerbangan sebuah pesawat dari Kuala Lumpur (KLIA2) ke Miri, Sarawak mengalami batuk semasa saringan kesihatan oleh anggota kesihatan di Lapangan Terbang Miri pada jam 12.07 tengah hari, 26 Feb.

“Penumpang itu merupakan seorang rakyat Malaysia yang baru pulang dari China. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi, Hospital Miri pada hari yang sama dan dirawat sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

“Lanjutan daripada itu, siasatan makmal untuk ujian saringan dan ujian ulangan bagi COVID-19 didapati negatif dan beliau telah dibenarkan pulang hari ini tetapi masih di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Chin berkata setakat hari ini, tiada kes disahkan dijangkiti COVID-19 di Sarawak.– BERNAMA

Suara Sarawak