COVID-19: Kerajaan miliki strategi, persediaan menangani kemiskinan situasi

KUALA LUMPUR: Tiada siapa pernah menjangkakan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, turut memberi kesan serius kepada Malaysia sehingga kerajaan terpaksa bertindak mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan.

Pengarah Institut Penyelidikan Dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata rentetan perintah itu pula telah membentuk satu jenis kemiskinan yang jarang diwacana dalam konteks Malaysia, iaitu kemiskinan situasi atau ‘situational poverty’.

“Impak COVID-19 serta pelaksanaan PKP telah merencatkan pelbagai sektor ekonomi dan banyak pihak kehilangan pekerjaan atau menerima bayaran separuh gaji. Keadaan ini seterusnya mencetus kemiskinan situasi iaitu apabila seseorang menjadi miskin disebabkan keadaan tertentu yang tidak dijangka.

“Kemiskinan tersebut juga boleh terjadi disebabkan faktor lain, antaranya ialah kematian ketua isi keluarga, penceraian, ditimpa kemalangan atau sakit kronik,” katanya dalam kolum tinta minda di Bernama.com.

Beliau berkata miskin situasi bukan hanya menimpa kelompok yang sedia miskin (pendapatan RM980 sebulan) atau miskin bergenerasi sahaja, sebaliknya pada yang berpendapatan rendah (pendapatan RM980 hingga RM2,614 sebulan), pertengahan rendah (RM2,614 hingga RM4,360 sebulan) dan pertengahan tinggi atau M40.

Tambahan pula katanya, keadaan ekonomi sepanjang COVID-19 menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan sebanyak 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan melibatkan 647,000 orang adalah daripada kalangan pekerja yang tidak mahir dan 303,000 orang pekerja mahir.

“Sebanyak 95 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berdepan penurunan dalam jualan, 80 peratus tutup sementara; dan 93 peratus perniagaan tidak stabil selama enam bulan kerana tidak dapat meneruskan rutin perniagaan. Sebanyak 480,000 PKS dijangka berpotensi bankrap dan 8 juta hilang pekerjaan.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula mendapati 53.4 peratus firma perniagaan hanya mampu bertahan selama satu hingga dua bulan dengan memberi kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji kepada pekerja. Sebanyak 67.8 peratus firma perniagaan tiada sumber pendapatan dan 46.6 peratus responden hilang kerja sepanjang PKP fasa pertama,” tambahnya.

Selain itu katanya, kajian InsPeK mendapati antara yang dibimbangkan responden adalah penyusutan simpanan (65 peratus), peningkatan kos utiliti (37.3 peratus) dan peningkatan hutang (27.2 peratus). Simpanan dimiliki tidak mampu bertahan lama iaitu 28 peratus hanya mampu bertahan selama dua minggu dan 29.8 peratus antara dua hingga empat minggu.

Wan Ahmad Amir Zal menjelaskan walaupun kebiasaannya keadaan miskin situasi hanya berlaku dalam tempoh sementara sahaja, namun untuk pulih daripada krisis itu memerlukan strategi yang ampuh daripada pihak kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Lantaran itu, katanya dengan langkah persediaan dan strategi tepat yang diambil kerajaan Malaysia dalam menangani tempoh sukar ketika ini dilihat cukup bersedia untuk berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan tersebut.

Beliau berkata kerajaan juga menyedari bahawa cabaran di peringkat awal PKP bagi memulihkan ekonomi termasuk mempertimbangkan kebenaran bagi rakyat kembali bekerja dalam tempoh terdekat adalah sukar, maka jaminan memiliki pendapatan sementara telah diatur terlebih dahulu buat rakyat.

Menurutnya, dalam konteks reaksi segera kerajaan, pendekatan Malaysia mengumumkan pelbagai langkah dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) adalah satu keputusan yang tepat.

Beliau berkata selain strategi pemberian Bantuan Prihatin Nasional, Pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) Akaun 2, Program Subsidi Upah, Bantuan tunai pemandu e-hailing, bantuan kemudahan Khas PKS dan Usahawan Mikro, dan moratorium enam bulan pembayaran balik pinjaman juga dilihat amat membantu.

“Langkah yang diambil bukan sahaja boleh mengurangkan kebarangkalian individu tertentu terjebak dalam kemiskinan situasi, malah juga boleh membantu individu miskin situasi untuk bertahan sementara mengatur langkah untuk kembalikan kehidupan asal mereka.

“Terkini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beberapa sektor ekonomi penting boleh beroperasi semula secara berhati-hati dan terkawal sememangnya dinanti-nantikan rakyat agar dapat mengatasi kemiskinan situasi dengan kembali memiliki sumber pendapatan,” katanya.

Wan Ahmad Amir Zal berkata antara strategi lain yang boleh dipertimbangkan ialah mencipta dan menghidupkan kembali pekerjaan khas bagi rakyat Malaysia, mengembangkan lagi ekonomi digital dan industri makanan halal.

— BERNAMA

Suara Sarawak