Covid-19: Kerana nila setitik rosak susu sebelanga

KEMUNCULAN semula pandemik Covid-19 dengan peningkatan kes demi kes di seluruh negara membimbangkan kita semua.
Ini kerana tahun baharu 2021, yang diharapkan sebagai tahun yang lebih ceria, masih lagi menampakkan kesuramannya, malah semakin suram. Lebih memburukkan keadaan, situasi banjir di seluruh negara baru-baru ini turut mengganggu kita.
Mujurlah ia sudah reda sekarang ini, namun langkah berjaga-jaga perlu diteruskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim tengkujuh ini. Yang pasti, situasi Covid-19 kelihatan masih berleluasa.
Oleh itu, langkah kerajaan mengadakan darurat sehingga Ogos depan amatlah tepat, bagi membuka ruang untuk kita lebih fokus terhadap ‘perang’ yang belum selesai ini.
Darurat merupakan langkah lanjutan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di serata tempat. Dengan pengumuman PKP dan darurat, maka fokus kita lebih kepada isu Covid-19, tanpa terlalu memikirkan hal-hal lain, terutama yang membabitkan landskap politik.

Ini kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mahu darurat ditarik balik, kononnya garis panduan yang ada sekarang ini, memadai untuk memerangi wabak ghaib ini.
Namun mereka sebenarnya mempunya agenda tersembunyi, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan pilihan raya, gara-gara gila kuasa.
Lupakah mereka bagaimana pilihan raya negeri (PRN) di Sabah pada penghujung September tahun lalu, telah menjadi pencetus kepada ‘kebangkitan’ semula Covid-19, malah kesannya dirasai sehingga kini.
Jadi, adalah tidak wajar untuk bercakap mengenai tarikh pilihan raya sekarang ini, lebih-lebih lagi dalam tempoh darurat. Pihak kerajaan tidak sewenang-wenang untuk mengumumkan darurat.
Langkah tersebut terpaksa diambil kerana mengambil kira faktor keselamatan semua pihak, terutama di negeri yang terjejas teruk. Ini kerana ia dikhuatiri bertambah buruk sekiranya kita masih sibuk dengan perkara-perkara lain yang tidak begitu penting.
Malah bagi negeri yang agak kurang terjejas, hendaklah berhati-hati, kerana kita tidak mahu “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. I
ngat, kes Covid-19 bermula dengan hanya seorang di Wuhan pada November tahun lalu, kemudiannya ia menular ke serata dunia, dan sehingga kini jumlah kes sudah pun mencecah 96 juta, dengan lebih dua juta kematian.

Amerika Syarikat kekal negara tertinggi jangkitan kes dengan 24.6 juta setakat ini, yang membabitkan 408,623 kematian. Ia diikuti India, 10.5 juta kes, dengan 152,593 kematian. Brazil pula di tangga ketiga, dengan 8.5 juta kes dan 210,328 kematian. Kemudiannya diikuti tujuh negara iaitu, Rusia, United Kingdom, Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol yang mencatat sekitar dua juta hingga tiga juta kes, dan angka kematian mencecah antara 40,105 hingga, 89,860.
Walaupun angka kes di Malaysia masih jauh, 161,740 kes dengan 605 kematian, berbanding 10 negara teratas itu, namun langkah drastik perlu diambil seperti yang dilakukan oleh pihak kerajaan sekarang ini, termasuk mengisytiharkan darurat hingga Ogos depan.
Di sinilah peranan masyarakat, bukan sahaja perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan, tetapi juga hendaklah bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ dengan melapor segera kepada pihak berkuasa, jika adanya sebarang gejala, atau orang yang berpotensi menjadi penyebar, dan yang berkaitan dengannya.
Malah masyarakat juga dikehendaki bersikap “menjaga tepi kain orang”. Dalam keadaan sekarang ini, kita perlu menjadi penyibuk, demi kepentingan semua, bukan hanya untuk kepentingan diri dan keluarga.
Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab. Sebagai rakyat Sarawak mahupun Malaysia secara keseluruhannya, jangan ambil mudah atau sambil lewa terhadap Covid-19 ini, kerana ia masih berpotensi untuk terus merebak.

Suara Sarawak