Covid-19: Kluster Kampung Binyu diisytihar kluster terbaru hari ini

KUCHING: Terdapat  satu kluster baharu direkodkan di Sarawak hari ini iaitu kluster Kampung Binyu, Kuching.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kluster Kampung Binyu adalah kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan majlis perkahwinan di Kampung Binyu, Jalan Tanjung Bako di daerah Kuching, Sarawak.

“Kluster ini dikesan apabila beberapa individu bergejala (Kes ke-16,214, 16,194 dan 16,196) yang telah menjalani saringan Covid-19 di fasiliti kesihatan di daerah Kuching dan Bintulu didapati positif pada 30 Mac 2021,” katanya .

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati kes-kes ini mempunyai sejarah menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Binyu, Kuching.

Justeru, hasil pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas semua kontak rapat, ahli keluarga dan kontak kasual kepada kes-kes ini, tambahan 65 kes positif Covid-19 telah dikesan.

Sementara itu, JPBN memberitahu, Daerah Belaga telah bertukar ke status kuning daripada status hijau setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu yang menjadikan daerah berstatus kuning meningkat kepada 19 daerah.

Sebanyak 10 daerah kekal berstatus merah dan lapan lagi kekal berstatus hijau.

Suara Sarawak