COVID-19: Malaysia kembali sifar penularan tempatan libatkan warganegara

PUTRAJAYA: Tiada kes penularan COVID-19 dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia dilapor hari ini selepas pertama kali direkodkan pada 9 Jun lepas, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 15 kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,587 kes.

Daripada kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala kesemua 13 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 289 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 21 individu pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi kes melibatkan bukan warganegara, beliau berkata satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA