Covid-19, masalah mental, bunuh diri

PANDEMIK Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga hingga menyebabkan proklamasi darurat memberi kesan terhadap mental sesetengah masyarakat.
Hilang pekerjaan, kurangnya pendapatan serta komitmen yang tinggi terhadap keluarga sudah pasti akan memberi kesan kepada kesihatan mental kepada setiap individu yang terkesan.
Bukan itu sahaja, individu yang dijangkiti virus tersebut turut terkesan apabila perlu menjalani tempoh rawatan dan kuarantin.
Namun, mereka yang telah sembuh juga boleh mengalami masalah mental. Ini berpunca daripada penolakan masyarakat itu sendiri yang enggan menerima bekas pesakit Covid-19 yang telah sembuh ke dalam komuniti mereka kerana bimbang akan penularan virus tersebut.
Pernah terjadi kepada rakan sendiri apabila beliau merupakan bekas pesakit Covid-19 yang baru keluar dari hospital mahu kembali ke kediamannya di bangunan pangsapuri di Sibu baru-baru ini.
Namun penduduk di kawasannya tidak membenarkan.
Kemudian, dia ingin pulang ke rumah keluarganya tetapi ibu bapa tidak menerima kedatangannya. Begitu juga keluarga mentuanya.
Beliau turut berkongsi perasaan kecewa dengan penerimaan masyarakat sehingga keluarga sendiri membuangnya, hanya kerana penyakit berkenaan.
Beliau yang tiada arah tuju turut mengalami kemurungan dan pernah berhasrat untuk membunuh diri.
Namun, akhirnya beliau dapat tinggal bersama-sama jirannya semasa di pangsapuri yang turut dijangkiti virus berkenaan dan telah disahkan sembuh di kediaman mereka.
Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac sehingga 30 Oktober tahun lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.
Statistik tersebut menunjukkan secara purata lebih 30 orang bunuh diri dalam tempoh sebulan atau seorang setiap hari dalam tempoh terbabit.
Selain itu, lebih menyedihkan lagi apabila terdapat seramai 424,000 kanak-kanak turut mengalami masalah kesihatan mental di seluruh negara sejak 2019.
Berdasarkan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) separuh penduduk Malaysia mengalami kemurungan, 2.3 peratus daripadanya berusia 16 tahun ke atas.
Sementara itu, Sarawak berada di kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia apabila terdapat 14.1 peratus penduduknya mengalami masalah kesihatan mental dan 7.9 peratus daripadanya ialah kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun.
Dalam membendung penularan wabak Covid-19, Kerajaan Sarawak turut berusaha membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyatnya dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan, Befriender untuk menangani masalah seperti kecenderungan membunuh diri, mendengar masalah pelanggan dan lain-lain.
Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak akan terus berusaha membantu menangani masalah kesihatan dengan memberi kemudahan tanpa mengira organisasi kerajaan atau bukan kerajaan bagi membendung masalah tersebut.
Secara keseluruhannya, penyakit berkaitan masalah kesihatan mental hendaklah dibendung oleh semua pihak.
Penerimaan masyarakat terhadap mereka yang mempunyai masalah tersebut hendaklah berubah daripada negatif ke positif.
Kebanyakan masyarakat berfikir bahawa mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sering dikaitkan dengan penyakit mental dan tidak dapat dikenakan tindakan undang-undang sekiranya pesakit menjadi agresif serta mencederakan orang awam.
Pemikiran tersebut harus dibuang oleh masyarakat, sebaliknya kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai masalah kesihatan mental dan penyakit mental perlu dikuasai agar tidak menimbulkan salah faham.
Selain itu, penerimaan dan sokongan keluarga amat penting bagi memastikan setiap mangsa tidak terpinggir dalam kalangan masyarakat.