Covid-19: Pati penyumbang kes positif baharu di Sarawak

KUCHING: Pendatang asing tanpa izin (Pati) menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 di Sarawak, apabila satu daripada dua kes baharu yang dikesan di Daerah Kuching hari ini melibatkan seorang Pati dari Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kes ke-1,110 itu merupakan seorang lelaki yang telah ditangkap oleh pihak penguat kuasa hasil aduan orang ramai di Daerah Bau melalui Ops Benteng pada 25 Disember lalu.

“Kes bersama enam orang lain telah ditahan atas kesalahan masuk ke negara ini secara tidak sah dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kes ini telah dibawa menjalani saringan Covid-19 di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kuching pada 26 Disember dan telah didapati positif pada 28 Disember,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, di bangunan DUN lama di sini hari ini.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), setakat ini terdapat 15 kes positif Covid-19 di Sarawak melibatkan Pati.

Katanya enam kes dikesan di Kuching, Sibu (4), Asajaya (2) dan satu kes masing-masing di Lubok Antu, Lundu dan Tebedu.

Manakala, Uggah berkata satu lagi kes positif baharu iaitu yang ke-1,109 melibatkan seorang wanita tempatan yang baru balik dari Congo melalui penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 25 Disember lalu.

Beliau berkata kes merupakan seorang akauntan yang bekerja di sebuah syarikat milik negara di Congo sejak Februari tahun ini.

Uggah berkata kedua-dua kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Uggah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, di bangunan DUN lama di sini hari ini.

Suara Sarawak